MOHAMAD memulakan perjalanan dari stesen LRT PWTC, jam 8 malam tadi.
MOHAMAD memulakan perjalanan dari stesen LRT PWTC, jam 8 malam tadi.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Bukan untuk dikenali, jauh sekali mengejar populariti sebaliknya matlamat anak muda ini hanya satu iaitu mahu ‘menyucikan rohani’ selain memperbaiki diri yang dirasakan semakin jauh dari Ilahi.

Lantaran itu, Mohamad Che Rameli, 26, sanggup melepaskan jawatan sebagai penyelia di sebuah syarikat kiriman wang di Shah Alam, Selangor, berjauhan daripada keluarga dan memilih untuk memencilkan diri buat sementara untuk mengembara.

Mohamad nekad mengembara ke Makkah melalui jalan darat dengan cara ‘backpacker’ untuk menyelami kesusahan dan kepayahan orang dulu mengerjakan haji dan umrah menggunakan kaedah yang sama.

“Saya akan merentasi sembilan negara termasuk Malaysia sebelum memasuki Thailand, Myanmar, India, Nepal, Pakistan, Iran, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) seterusnya ke Arab Saudi dengan anggaran perjalanan pergi dan balik selama 79 hari.

“Dalam tempoh merentasi negara itu, saya akan mempelajari dan mengenali dengan lebih dekat kehidupan serta budaya masyarakat Islam di negara berkenaan selain berkongsi kesusahan mereka,” katanya yang berlepas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Katanya, dalam tempoh perjalanan itu, dia juga bercadang mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi makanan halal sebagai panduan kepada bakal pengembara dan ‘backpacker’ lain yang ingin mengembara.

“Saya akan berkongsi pengalaman dan status perjalanan di laman Facebook peribadi dan juga di Facebook, Umrah Backpacker Malaysia untuk panduan orang ramai,” katanya.

Katanya, hasrat itu pada awalnya mendapat tentangan daripada keluarga, namun selepas berulang kali memberi penjelasan selain kesungguhannya mengejar ilmu akhirat, mereka akhirnya memberi keizinan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Anak Muda Islam Malaysia (AMIM) Yusuf Azmi berkata, selain memberi sokongan moral dan sumber kewangan kepada Mohamad, mereka juga berharap anak muda itu akan menjadi contoh kepada golongan belia di negara ini.

“Kita mahu golongan belia Islam di negara ini belajar untuk membina jati diri dan modal insan dengan mengembara atau bermusafir.

“Bagi melahirkan matlamat ini juga, AMIM berharap sokongan terutama dalam bentuk sumber kewangan atau dana khas dari Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan supaya lebih ramai anak muda tampil menyahut cabaran itu,” katanya.

Yusuf berkata, mungkin idea ini dianggap ‘gila’ kerana kos yang diperlukan dua kali ganda daripada kos perjalanan umrah melalui laluan udara, namun mereka memandang positif kerana Mohamad mampu menjadi duta kecil dalam menyampaikan mesej keamanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:11 AM