SAMSUDIN menunjukkan air sungai Masai yang dicemari sisa kumbahan di Kampung Pasir Gudang Baru.
Ibrahim Isa dan Mohd Fahd Rahmat


Johor Bahru: Masalah pencemaran air di Sungai Masai, di sini, didakwa sudah berlarutan sejak enam tahun lalu dan semakin bertambah buruk enam bulan kebelakangan ini.

Penduduk Kampung Pasir Gudang Baru, Hashim Tongkon, 56, mendakwa, tindakan pihak tidak bertanggungjawab termasuk pihak industri di tepi Sungai Masai yang melepaskan sisa kumbahan menyebabkan penduduk kampung yang majoritinya nelayan, terjejas.

“Sudah berbuih mulut penduduk mengajukan masalah ini kepada pihak berkuasa, namun apa yang jadi, seperti kisah ‘Bangau oh Bangau’ yang saling menyalahkan satu sama lain.

“Saya dan beberapa penduduk sudah menyusur Sungai Masai mencari punca dan yakin kualiti air sungai ini terjejas kerana ada pihak industri yang melepaskan sisa kumbahan ketika air pasang dan sebab itu penduduk tidak tahu siapa dan mana puncanya yang melepaskannya,” katanya ketika ditemui.

Hashim berkata, penduduk sudah menghantar sampel air kepada pihak berkenaan bagi menguji kadar pencemarannya, namun hasilnya amat mengecewakan kerana dikatakan tidak berbahaya kepada alam sekitar.

“Kalau kualiti air di sungai ini baik, tiada pencemaran, mengapa saban hari nelayan dan penternak kupang di sini berdepan dengan hidupan laut yang pupus.

“Pihak berkenaan berkata mengapa ikan tilapia boleh hidup dalam loji kumbahan sedangkan apa yang kami persoalkan pelbagai ikan termasuk siakap, unga, kerapu dan kitang tidak lagi mudah dicari nelayan di bahagian Selat Tebrau sebab air kumbahan ini menjejaskan kehidupan ikan.

“Nelayan yang memasang jaring, bubu dan pemancing sukar mendapat ikan, malah jika hujan lebat, air sungai yang dipenuhi air kumbahan keluar ke laut, hasil ternakan kupang juga terjejas,” katanya.

Penternak kupang, Samsudin Saidi, 42, berkata, masalah pencemaran berkenaan mencacatkan pemandangan kerana air sungai berubah menjadi hitam dan menghasilkan bau busuk.

“Jika dahulu dari jeti nelayan di kampung, penduduk boleh memancing ikan atau mencari ketam, tetapi sekarang terpaksa pergi jauh ke tengah laut untuk mendapat hasil,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penternak kupang, Amir Mohd Aziz, 30, berkata, akibat pembangunan pesat di Selat Tebrau, perairan semakin sempit dan berharap kerajaan dapat menitikberatkan kehidupan nelayan dan penternak kupang supaya tidak terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:24 AM