RAZALI bersama ahli MPA selepas merasmikan MPPK di USIM, Nilai, semalam.
Alias Abd Rani


Nilai: Sebanyak 404 sekolah menengah dipilih Kementerian Pendidikan melaksanakan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) bermula tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu membabitkan 10,100 pelajar yang mengambil mata pelajaran vokasional.

Katanya, PVMA adalah antara usaha Kementerian Pendidikan melalui transformasi pendidikan vokasional untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sebanyak 80 sekolah menengah vokasional dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional manakala 85 sekolah menengah melaksanakan pendidikan asas vokasional.

“Lepasan Diploma Vokasional Malaysia dari Kolej Vokasional boleh melanjutkan pelajaran ke universiti di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Terdahulu, Razali mewakili Ahmad Zahid merasmikan mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.

MPPK dianggotai pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPA) Universiti Awam dan Swasta, politeknik, kolej komuniti dan persatuan mahasiswa Malaysia di luar negara.

Ahmad Zahid berkata, penekanan terhadap TVET hasil mesyuarat MPPK tahun lalu apabila pemimpin MPA mahu kerajaan bertindak terhadap isu pengangguran dalam kalangan belia.

Katanya, TVET memberi tumpuan kepada transformasi penyampaian bagi memenuhi permintaan industri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 6:01 AM