KOLAM renang yang mengakibatkan seorang kanak-kanak ditemui lemas di dasar kolam berkenaan.
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Kegembiraan percutian lima keluarga di pantai peranginan ini bagaikan direntap apabila seorang daripada mereka ditemui lemas dalam kolam renang di sebuah hotel di Batu 9, Jalan Pantai, semalam

Kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari apabila mangsa, Mohamad Ashrad Hakim Aziezi, 2, dipercayai memasuki kolam orang dewasa tanpa disedari ahli keluarganya.

Difahamkan, keluarga terbabit dari Tanjung Malim, Perak, datang ke Port Dickson, sejak kelmarin sempena cuti sekolah sebelum menginap di hotel berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Zainudin Ahmad berkata, mangsa ditemui orang awam di dasar kolam renang dewasa.

Zainudin berkata, pada awalnya, mangsa bersama sepupunya mandi di kolam renang kanak-kanak sementara ahli keluarga lain termasuk bapanya mandi di kolam dewasa.

“Bagaimanapun, kehilangan mangsa disedari bapanya sebelum mencari di sekitar hotel berkenaan. Beberapa minit kemudian, pengunjung hotel berkenaan menemui mangsa di dasar kolam lalu memaklumkan kepada pengurusan hotel,” katanya ketika ditemui di Hospital Port Dickson (HPD) semalam.

Zainudin berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dengan bantuan kakitangan hotel, namun disahkan meninggal dunia.

“Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, Zainudin berkata, aspek keselamatan ketika beriadah di kolam renang terutamanya membabitkan kanak-kanak perlu dititik beratkan sama ada pihak hotel mahupun ibu bapa atau penjaga.

“Pihak hotel perlu menyediakan pengawal keselamatan kolam terutama musim cuti sekolah atau cuti umum kerana jumlah pengunjung meningkat berbanding hari biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 9:23 AM