myMetro

Melaka: “Sepatutnya kamu menjaga keselamatannya, ini tidak, kamu pula mengambil kesempatan melakukan perbuatan jijik ibarat ‘harap pegar, pegar makan padi’.

“Pangkat usia kamu dengan tertuduh boleh dianggap datuk dan mahkamah tidak boleh terima perbuatan ini kerana ia adalah kesalahan serius, selain disebabkan usia yang terlalu muda kemungkinan mangsa akan trauma,” kata Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik.

Beliau berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap Hussin Ali, 71, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan, Hussin didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan cara memegang kemaluannya dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Padang Jeperun, Bertam, pada jam kira-kira 4 petang, Februari lalu.

Mengikut fakta kes, pada jam 7.15 malam, 21 Mac lalu, tertuduh ke rumah mangsa yang juga jirannya dan bertanya mengenai kanak-kanak itu kepada ibunya yang kemudian memaklumkan anaknya berada di dalam rumah.

Wanita itu kemudian memanggil anaknya dan memaklumkan tertuduh mencarinya, bagaimanapun kanak-kanak terbabit enggan berjumpa dengan warga emas terbabit kerana takut dicium.

Menurut mangsa, satu hari ketika mahu pulang ke rumah, dia dipanggil oleh tertuduh dan dibawa masuk ke dalam rumah serta diminta berbaring di atas katil sebelum seluarnya dibuka dan kemaluannya dipegang lelaki berkenaan.

Selepas itu, tertuduh menyuruh mangsa pulang ke rumah dan diberikan wang sebanyak RM1.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya hukuman ke atasnya diringankan atas faktor usia sudah lanjut selain makan dan minum juga ditanggung anaknya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak, memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk literal dan mampu memberi pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira kekerapan kes yang berlaku selain umur mangsa ketika kejadian baru enam tahun.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 15 bulan dari tarikh hukuman dijatuhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 9:32 AM
Hussin  diiringi polis selepas mendengar pertuduhan di Mahkamah Majistret, Melaka.
Hussin diiringi polis selepas mendengar pertuduhan di Mahkamah Majistret, Melaka.