KARUNG guni diisi dengan kura-kura hitam yang dirampas.
KARUNG guni diisi dengan kura-kura hitam yang dirampas.
myMetro

Shah Alam: Taktik sindiket penyeludupan hidupan liar menyeludup ratusan kura-kura bersama kentang dalam kontena untuk mengaburi pihak berkuasa dapat dipatahkan.

Pada operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelesenan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor jam 10 pagi kelmarin, 508 ekor kura-kura hitam (Black Pond Turtle) bernilai RM250,000 dirampas.

Pengarah PERHILITAN Selangor Abd Rahim Othman berkata, bertindak atas maklumat Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor, pihaknya memeriksa sebuah kontena yang mendarat di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui kura-kura itu dalam 76 karung guni kuning yang dimuatkan dalam kontena itu bersama kentang.

“Risikan mendapati ia dari Karachi, Pakistan dan kontena ini transit di Myanmar sebelum dibawa masuk ke Malaysia sebagai sumber makanan eksotik.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kes juga disiasat di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686), sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi setiap haiwan dan tidak lebih RM2 juta atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:53 AM