STOR penyimpanan kernderaan yang musnah dalam kebakaran di Taman Serdang Jaya lewat petang kelmarin.
Mohd Fadly Samsudin

Serdang: Sebanyak 17 kereta terpakai termasuk model mewah antaranya Mercedes-Benz, Jaguar, Volvo dan BMW musnah terbakar dalam kebakaran ‘misteri’ membabitkan stor penyimpanan kenderaan di Taman Serdang Raya, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, tujuh lagi kenderaan mewah sempat diselamatkan daripada turut hangus terbakar.

Difahamkan jumlah kerugian ditanggung pemilik premis itu melebihi RM2 juta.

Pemilik premis yang mahu dikenali sebagai Yusof berkata, dia hanya menyedari kebakaran yang berlaku sebaik dimaklumkan oleh rakannya.

Dia yang berada di rumah ketika itu bergegas pergi ke stor berkenaan bagi menyelamatkan kenderaan.

“Saya hanya sempat mengeluarkan tujuh kereta dari dalam stor itu,” katanya.

Menurutnya, baki 17 kenderaan lain gagal diselamatkan dan musnah 100 peratus.

“Saya mengusahakan perniagaan menjual kereta terpakai ini sejak 20 tahun lalu. Ketika kejadian tiada sesiapa berada dalam premis,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.16 petang.

“Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang selain dibantu anggota BBP Kajang, BBP Puchong, BBP Salak South, BBP Bangi dan Bomba Sukarela Serdang digerakkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:08 AM