ABDULLAH mampu memproses 200 biji kelapa sehari untuk dijadikan santan.
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


Alor Gajah: Pengalaman terpaksa berbaris dua jam untuk membeli santan di Pasar Masjid Tanah mendorong seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) membuka perniagaan santan.

Rasa kecewa kerana terpaksa membuang masa menunggu giliran untuk membeli bahan masakan itu sentiasa menekan jiwa Abdullah Sani, 62, setiap kali isterinya ingin memasak rendang dan pelbagai gulai lain untuk menyambut Aidilfitri.

Abdullah yang tidak mampu mendengar dan bertutur membulatkan tekad memulakan perniagaan santan dengan menyewa bangunan yang asalnya kedai basikal untuk dijadikan premis niaga di Kampung Londang, Masjid Tanah dekat sini pada Jun 2015.

Dia yang ditemubual melalui bantuan adik iparnya, Hanifah Fateh Din, 53, berkata, dia berang kerana terpaksa berbaris lama semata-mata untuk mendapatkan santan antara tiga hingga empat kilogram (kg) setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Saya mengambil keputusan membuka perniagaan santan selepas tidak sanggup lagi berbaris untuk membeli santan,” katanya ketika ditemui di kedainya semalam.

Abdullah menggunakan wang simpanannya untuk membeli mesin memerah kelapa berharga RM9,000 selain membeli 2,000 kelapa daripada pemborong di Parit Jawa, Muar pada harga 80 sen sebiji.

Bagaimanapun, selepas mendapat bekalan kelapa daripada seorang pemborong kelapa tempatan di kampung itu, dia tidak lagi membeli kelapa dari Parit Jawa.

“Apabila mendapati stok kelapa berkurangan, saya meminta pemborong menghantar kelapa.

“Saya membelinya pada harga RM1.30 sebiji dan jika saiznya besar, harganya menjadi RM1.40 sebiji,” katanya.

Abdullah dengan dibantu Hanifah dan seorang petugas Kamariah Abu, 58, mampu memproses 200 biji kelapa sehari.

Setiap empat kelapa bersaiz besar dan enam kelapa bersaiz kecil mampu menghasilkan satu kg santan yang dijual pada harga RM8 satu kg.

Selain menghasilkan santan, Abdullah turut menjual kerisik pada harga RM5 hingga RM13 bergantung pada beratnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 10:15 AM