ANGGOTA trafik mengambil tindakan terhadap pemandu teksi yang menghalang lalu lintas di sekitar ibu kota.

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) mengeluarkan sebanyak 36 saman dan 21 notis terhadap pemandu teksi yang meletakkan kenderaan sehingga menghalang lalu lintas menerusi ‘Op Halangan’ di ibu kota, kelmarin.

Jurucakap JSPTKL berkata, seramai 27 pegawai serta anggota Bahagian Penguatkuasaan dan Operasi dikerahkan menerusi operasi selama tiga jam bermula jam 11 pagi itu.

Katanya, operasi dijalankan membabitkan lapan lokasi iaitu Jalan Bukit Bintang, Kedutaan Indonesia, Pavilion, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tan Cheng Loke, KLCC, Jalan Petaling dan Jalan Sultan.

“Operasi dijalankan berikutan terdapat aduan orang awam mengenai kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak disebabkan segelintir pengguna jalan raya terutamanya pemandu teksi meletakkan kenderaan sesuka hati untuk mengambil penumpang sehingga menghalang laluan.

“Menerusi operasi yang berakhir jam 2 petang itu, sebanyak 36 saman dan 21 notis dikeluarkan ke atas pesalah trafik berkenaan.

“Pemantauan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan ditetapkan dengan meletakkan kenderaan di tempat dibenarkan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 10:18 AM