DUA suspek yang ditahan orang awam ketika cuba melarikan kereta.
Mohd Fadly Samsudin


Semenyih: Dua penjenayah dianggap bertuah apabila tidak dibelasah sejurus diberkas orang ramai kerana melarikan kereta milik kakitangan sebuah resort.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, suspek menceroboh masuk kawasan resort berkenaan dan menyamar sebagai ejen penarik kereta.

Difahamkan, suspek gagal menunjukkan surat arahan menarik kenderaan dan kad kuasa sebelum menengking pekerja yang bertanyakan tujuan mereka memasuki kawasan berkenaan.

Sumber berkata, suspek melarikan kereta Perodua Viva diletakkan di kawasan parkir di resort berkenaan.

“Ketika kejadian, pemilik kereta berada di dalam bangunan sebelum pekerja resort memaklumkan kenderaannya dilarikan suspek.

“Seorang lagi suspek dilihat memandu sebuah lagi kenderaan dan mengekori rakannya dari belakang. Sebaik mengetahui kenderaannya dilarikan, mangsa meminta pertolongan rakan sekerja mengejar suspek,” katanya.

Katanya, suspek ditahan orang awam berhampiran Masjid Kampung Pasir tiga kilometer dari lokasi kereta dilarikan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan dua suspek terbabit.

Menurutnya, dua lelaki itu terdiri warga tempatan berusia 38 tahun dan pelajar warga Zambia berusia 30 tahun.

“Tangkapan dilakukan orang awam sebelum mereka menghubungi polis. Dua anggota polis membawa suspek ke balai ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 10:00 AM