MOHD Mokhtar (dua dari kiri) menunjukkan cecair syabu yang dirampas.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Dua dalang sindiket dadah warga Iran disifatkan sebagai ‘Cef Nomad’ berikutan mereka gemar berpindah randah dari satu negara ke negara lain untuk memasak dadah syabu.

Kedua-dua mereka dikesan turut mengajar ilmu mengadun dan memasak cecair syabu kepada ahli sindiket yang mengupah khidmat mereka.

Bagaimanapun aktiviti mereka dibongkar selepas Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman menyerbu sebuah kontena ditempatkan di kebun buah-buahan di Behrang, Perak dan merampas 274 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM27 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan jam 4.30 pagi kelmarin, pihaknya menahan dua lelaki warga Iran bertindak sebagai ‘cef’ pemprosesan syabu.

Beliau berkata, serbuan susulan dilakukan di Ampang, Klang dan Hulu Bernam, Selangor turut menahan enam lelaki tempatan dipercayai anggota sindiket mengupah dua suspek terbabit menghasilkan syabu.

“Semua suspek ditahan berusia 22 hingga 46 tahun dan pihak kami merampas 239 kg cecair syabu dan 35 kg kristal syabu,

“Polis turut merampas peralatan pemprosesan dadah itu seperti dapur, alat timbang dan bekas,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, siasatan mendapati seorang suspek warga Iran ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah manakala rakannya mempunyai pasport yang menunjukkan dia tiba ke negara ini pada Mei lalu.

Katanya, sindiket pengedaran dadah tempatan terbabit dikesan mengubah modus operandi mereka dengan menjadikan kawasan pedalaman yang jauh dari perumahan penduduk untuk menjalankan kegiatan mereka.

“Sebelum ini sindiket gemar menjadikan kondominium mewah sebagai markas dan makmal memasak dadah.

“Syabu yang dihasilkan dipercayai untuk pasaran tempatan selain diseludup keluar ke negara Barat,” katanya.

Beliau memberitahu, lima suspek yang ditahan dikesan positif dadah dan empat daripada lapan suspek ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, polis turut menyita tiga kereta pelbagai model, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM42,300.

“Semua yang ditahan kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 12:12 PM