ANTARA barang yang dirampas selepas sindiket curi kenderaan mewah ditumpaskan.
Mohamad Fahd Rahmat


Kulai: Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kenderaan mewah bernilai RM1 juta berikutan penahanan tujuh individu termasuk pasangan suami isteri berusia 21 hingga 40 tahun dalam Ops Lejang Khas dan Ops Lejang Metro pada 15 Jun lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu di sekitar bandar raya ini dan menjual kenderaan dicuri untuk pasaran gelap serendah RM10,000 seunit.

Katanya, polis turut menemui semula enam kenderaan yang dicuri dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Bertindak atas maklumat kegiatan curi kenderaan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai melancarkan Ops Lejang Khas dan Ops Lejang Metro yang diketuai oleh Inspektor Hafizudin Mohamad dan Inspektor Cassidy Banta pada 15 Jun lalu.

“Polis membuat serbuan di sebuah kawasan di Kempas, Johor Bahru dan berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan mencuri kereta di kawasan Senai serta merampas sebuah kereta Toyota Altis yang digunakan untuk melakukan kegiatan itu,” katanya pada sidang media di IPD Kulai, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Razak Md Said.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendedahkan identiti anggota sindiket itu dan beberapa siri serbuan turut dilakukan di sekitar bandar raya Johor Bahru pada hari yang sama dan lima suspek termasuk dua perempuan turut ditahan.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, kenderaan yang berjaya ditemui itu termasuk Toyota Estima yang pernah dilaporkan hilang di Plaza Angsana, Johor Bahru selepas baharu tiga hari dibeli oleh seorang warga Singapura.

“Seorang lagi suspek yang juga suami kepada salah seorang perempuan yang ditahan turut menyerah diri di IPD Kulai, semalam (kelmarin).

“Semua suspek yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya lebih 10 kes curi kenderaan yang dilaporkan di seluruh negeri ini berjaya diselesaikan susulan penahanan semua suspek.

“Siasatan lanjut terhadap kumpulan ini akan diteruskan bagi mengesan rakan jenayah lain yang masih bebas.

“Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:02 AM