AHLI keluarga mangsa berkumpul memberi penghormatan terakhir, semalam.
Mohd Rizal Abdullah


Miri: “Sama-sama kita berdoa untuk Bill Kayong,” pinta Abi Kayong, 41 adik kepada Bill Kayong, yang mati ditembak di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pusat beli belah di Tudan, di sini, kelmarin.

Bill Kayong, 43 atau nama Islamnya, Mohd Asbi Abdullah, disahkan memeluk Islam selepas berkahwin dengan isterinya, Hasyikin Hatta, 41.

Abi berkata, jenazah adiknya itu akan ditempatkan di rumah mereka di Desa Senadin bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Menurutnya, jenazah akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Batu 1, di sini, selepas solat Jumaat.

“Jenazah dijadual disembahyangkan di Masjid ar-Rayan, Permyjaya, sebelum dibawa ke tanah perkuburan Islam untuk disemadikan.

“Tiada apa yang saya boleh katakan lagi dan berharap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi mengetahui dalang sebalik kes pembunuhan ini.

“Kita doakan yang terbaik untuk Bill dan semoga semua proses siasatan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Miri, semalam.

Mayat Bill Kayong yang selesai menjalani proses bedah siasat dibawa pulang ke kediamannya kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan reaksi isterinya, Hasyikin Hatta, 41, gagal apabila dia enggan ditemu bual kerana masih lagi terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Agama Islam Bahagian Miri Jamaluddin Taim mengesahkan Bill Kayong beragama Islam dan mempunyai rekod pengislaman Bill Kayong di Pejabat Agama Miri.

“Kami juga sudah bertemu dengan isterinya dan dimaklumkan arwah akan disemadikan mengikut cara Islam pada Jumaat ini, ” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin, Bill Kayong ditemui maut di tempat pemandu Toyota Hilux miliknya dengan kesan tembakan di leher dipercayai ditembak menggunakan senapang patah.

Bill Kayong meninggalkan dua anak iaitu Veralyvina Bill, 14, dan Zinedine Zidane, 17.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 6:16 AM