SULTAN Ibrahim menerima zakat JCorp dari Mohamed Khaled sambil diperhatikan oleh Kamaruzzaman.
myMetro

Johor Bahru: Ribuan jemaah Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini, menyertai Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar pada majlis Santapan Berbuka Puasa JCorp, semalam.

Penduduk, Razak Raziman, 36, berkata, dia tidak ketinggalan untuk menjayakan majlis berkenaan bersama ahli keluarga dan bersyukur apabila berpeluang bertemu dengan Sultan Ibrahim dan keluarga diraja pada majlis itu.

“Kunjungan baginda amat bermakna bagi jemaah masjid ini dan ia mempamerkan contoh terbaik semangat ukhuwah,” katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima penyerahan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM6.45 juta daripada Johor Corporation (JCorp).

Zakat terbabit diserahkan Menteri Besar merangkap Pengerusi JCorp Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut mencemar duli ke majlis itu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dalam ucapannya berkata, zakat terbabit merangkumi 37 syarikat dalam kumpulan JCorp.

“Syarikat-syarikat berkenaan termasuk Kulim (Malaysia) Berhad, QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, KPJ Healthcare Berhad dan Johor Land Berhad,” katanya.

Kamaruzzaman berkata, pembayaran zakat diuruskan oleh Capaian Aspirasi Sdn Bhd sebagai amil zakat korporat yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pada majlis santapan itu, JCorp turut meraikan 100 anak yatim, fakir miskin dan orang kurang upaya (OKU) daripada lima rumah kebajikan di daerah ini.

Mereka turut menerima sumbangan duit raya bersama beg cenderamata selain menikmati makanan segera KFC dan Pizza Hut yang dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:10 AM