TAMAN Rimba TTDI dicadangkan untuk pembangunan projek perumahan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Permohonan pihak pemaju untuk menukar zon kegunaan tanah di tapak rumah panjang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersebelahan Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), masih lagi dalam pertimbangan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dalam kenyataannya berkata, permohonan cadangan pembangunan di PT 9244 Jalan Tun Mohd Fuad itu masih di peringkat pertimbangan dan keputusan muktamad belum dilakukan.

“Tapak berkenaan adalah tapak rumah panjang DBKL dan diberi hak milik kepada Tetuan Yayasan Wilayah untuk kegunaan Pembangunan Bercampur seperti mana tercatat dalam Surat Nyata hak milik tanah yang didaftarkan pada 13 Ogos 2014.

“Pelan Perancangan DBKL menetapkan tapak seluas 48,562 meter persegi ini adalah untuk pembangunan bercampur,” katanya.

Menurut Mhd Amin lagi, pihaknya menerima satu permohonan pembangunan bercampur secara usaha sama di antara Tetuan Yayasan Wilayah dan Tetuan Memang Perkasa Sdn Bhd yang membabitkan permohonan penukaran guna tanah daripada kediaman kepada Perumahan Mampu Milik dan perdagangan pangsapuri servis.

Kata beliau, permohonan pembangunan itu turut membabitkan penambahan kepadatan penduduk.

“Bagaimanapun, permohonan ini masih dalam proses Kaedah 5 kerana membabitkan penukaran zon kegunaan tanah dan pertambahan kepadatan penduduk, perlu mendapatkan pandangan penduduk sebelum satu keputusan dibuat.

“Permohonan ini masih di dalam pertimbangan dan keputusan muktamad masih belum dilakukan,” katanya.

Isnin lalu Harian Metro menyiarkan bantahan lebih 1,000 penduduk TTDI berhubung projek pembinaan pangsapuri di Taman Rimba Kiara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 7:16 AM