JEANNIE (tengah) dan Dr Vincent (empat dari kanan) bersama penaja Pameran Hartanah Myrumah di Balai Berita, NSTP, semalam.
JEANNIE (tengah) dan Dr Vincent (empat dari kanan) bersama penaja Pameran Hartanah Myrumah di Balai Berita, NSTP, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Orang ramai yang berhasrat untuk membuat pelaburan hartanah perlu melihat potensi hartanah dalam tempoh jangka panjang iaitu antara lima hingga 10 tahun bagi memastikan ia mampu memberi keuntungan lebih lumayan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Max Capital Management Holding Ltd (MCM), Adj Profesor Max Shangkar berkata, pada masa ini kebanyakan individu memiliki persepsi salah mengenai pelaburan dan melihat ia sebagai platform bagi menjana keuntungan dalam tempoh jangka singkat.

“Secara lazimnya, harga hartanah naik mendadak selepas kemelesetan ekonomi yang terjadi kira-kira 10 tahun sekali berbanding sebelum itu dan ini jelas akan memberi keuntungan kepada pelabur yang lebih cenderung kepada pelaburan jangka panjang,” katanya pada sidang media Pameran Hartanah Myrumah di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Andaman, Datuk Seri Dr Vincent Tiew dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong.

Beliau berkata, orang ramai perlu memilih hartanah sebaiknya dengan melakukan kajian kerana pelaburan hartanah mampu memberikan keuntungan antara 15 dan 20 peratus setahun.

“Sebagai contoh, harga hartanah berusia 20 tahun mampu meningkat sehingga 10 kali ganda atau lapan hingga 10 peratus setahun manakala kadar sewaan meningkat enam peratus setahun,” katanya.

Max Shangkar berkata, MCM yang memiliki kepakaran dalam industri pelaburan hartanah global sering mempromosikan kaedah Property Investment Life Cycle (PILC) sebagai platform yang boleh membantu individu untuk melabur dalam jumlah sedikit.

Menurutnya, beliau akan berkongsi maklumat mengenai PILC kepada orang ramai yang mengunjungi pameran terbabit di mana ia boleh diamalkan semua pihak termasuk kaedah pembiayaan bijak seperti pembiayaan dan pembiayaan semula.

“PILC adalah kaedah terbukti dalam semua situasi dan kami sudah menggunakan kaedah ini untuk melabur sebanyak AS$500 juta di lebih 10 negara termasuk United Kingdom, Jerman dan Hong Kong,” katanya.

Max Shankar adalah salah seorang panel yang akan memberi penerangan dalam sesi seminar pada Pameran Hartanah Myrumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) yang bakal berlangsung dari 29 hingga 31 Julai ini di Komtar JBCC, Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 9:54 AM
Digital NSTP Subscribe