NORZATI Iwani mencuba songkok untuk Muhammad Niyaz Furqan.
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Usianya baharu tiga tahun, namun Muhammad Niyaz Fur qan Mohd Fazrul Razduan yang menghidap penyakit Sindrom Crouzon sudah empat kali menjalani pembedahan termasuk dua pembedahan besar membetulkan tengkoraknya.

Pembedahan besar dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2014 itu bagi membetulkan struktur tengkoraknya yang sebelum ini lonjong sehingga menghimpit otak.

Menurut ibunya, Norzati Iwani Ab Razak, 31, selepas dibedah, keadaan anaknya semakin baik dan sehingga kini dia mampu berjalan serta bercakap seperti kanak-kanak lain.

“Alhamdulillah, dia semakin hari semakin pulih malah Muhammad Niyaz Fur qan mudah dijaga dan tidak banyak menangis seperti kanak-kanak lain.

“Ketika pembedahan yang dilakukan ke atasnya juga, Muhammad Niyaz Furqan tidak menangis dan hanya diam,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan baju raya daripada Tenaga Nasional Berhad.

Kisah Muhammad Niyaz Furqan pada tahun 2014 pernah mendapat liputan oleh Harian Metro sehingga banyak pihak serta syarikat korporat menghulurkan sumbangan.

Muhammad Niyaz Furqan yang ketika itu berusia tujuh bulan terpaksa tidur tanpa menutup mata, malah menyayat hati apabila muka dan tengkorak kanak-kanak itu membengkak manakala matanya tersembul.

Norzati berkata, walaupun anaknya mempunyai penyakit yang jarang ditemui di negara ini tetapi kanak-kanak itu jarang sakit atau demam dan menyebabkannya mudah dijaga.

“Muhammad Niyaz Fur qan memang kanak-kanak yang riang seperti kanak-kanak lain. Tetapi proses tumbesarannya agak lambat sedikit, saya memang seronok menjaga dia. Dia anugerah tidak ternilai kepada saya.

“Dia berjalan ketika berusia dua tahun dan kini lincah berlari. Dia pun boleh cakap sikit-sikit tetapi tidak seperti kanak-kanak seusianya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 10:12 AM