Saifulnizam   bersama bapanya Aziz (kiri) menunjukkan tangan kanannya yang berbalut akibat mercun ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laka, Ketereh.
Saifulnizam bersama bapanya Aziz (kiri) menunjukkan tangan kanannya yang berbalut akibat mercun ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laka, Ketereh.
Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) yang bermain mercun atas dasar ingin mencuba parah di bahagian tangan apabila mercun bola dibakarnya meletup lebih awal dalam kejadian Khamis lalu.

Akibatnya, jari telunjuk dan jari tengah, Saifulnizam Aziz, 14, hancur dan terpaksa menerima 15 jahitan di tangannya.

Saifulnizam ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laka, Ketereh, semalam mengakui menyesal dan tidak akan bermain mercun lagi untuk selama-lamanya.

“Saya menyesal sebab rasa sakit dan takkan bermain mercun lagi,” katanya yang juga OKU cacat pendengaran sejak lahir dan kini kudung jari.

Mengimbas kejadian itu, katanya, ia berlaku jam 7 malam, ketika dia bermain bersama dua rakan di hadapan rumahnya.

“Sebaik ia dibakar, mercun terus meletup kerana sumbu pendek. Saya tak sempat lempar pun. Saya meraung memanggil ibu,” katanya yang kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

Bapanya, Aziz Shapiin yang juga OKU masalah pendengaran berkata, ketika kejadian anaknya keluar bermain bersama rakan di hadapan rumah sementara menunggu waktu berbuka.

Dia mengakui anak kelima daripada lapan beradik itu memang kerap bermain mercun walaupun sering ditegah kerana bahaya.

“Saya nasihat janganlah bermain mercun kerana sangat bahaya, tetapi jarang didengar. Bila kejadian ini berlaku, dia sedar dan menjadi iktibar buatnya dan orang lain,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Sebelum ini, dua remaja Kelantan iaitu Nik Rashidi Azman, 17, dari Kampung Bukit Panau, Tanah Merah hancur tiga jari kanan selepas bermain mercun bola pada 24 Jun.

Sehari selepas itu, Muhammad Saiful Azam Shafie, 13, dari Kampung Kebakat, Tumpat pula nyaris buta apabila bermain mercun jenis sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:21 AM