Anggota polis mengangkat mayat Pong yang ditemui dalam longkang.
myMetro

Kulim: Sebatang payung yang ditemui berhampiran kawasan hutan membawa kepada penemuan mayat seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang sebelum itu dilaporkan hilang di Taman Selasih, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi, mayat mangsa, Pong Lee Lee, 44, ditemui dalam keadaan tersembam di dalam sebatang parit di kawasan hutan terbabit yang terletak 100 meter dari rumahnya.

Adik mangsa, Pong Lee Chean, 42, berkata, sebelum itu kakaknya keluar dari rumah jam 9 pagi kelmarin, bagaimanapun gagal pulang ke rumah sehingga lewat malam menyebabkan ahli keluarga berasa bimbang.

Menurutnya, kakaknya yang mengalami masalah mental sering keluar dari rumah setiap pagi untuk bersiar-siar di kawasan berhampiran termasuk tokong berdekatan, tetapi kebiasaannya akan pulang pada waktu petang atau malam.

Katanya, selain itu, kakaknya juga sering pergi ke sebuah kawasan terdapat sebatang pokok durian di belakang taman perumahan berkenaan untuk menunggu buahnya gugur.

“Kami menunggunya sehingga lewat malam (kelmarin), namun kakak masih tidak muncul menyebabkan kami sekeluarga berasa risau dengan keselamatannya.

“Berikutan itu, saya membuat laporan kehilangan kakak di Balai Polis Kulim kira-kira jam 9 pagi ini (semalam) sebelum mencarinya di sekitar taman perumahan ini manakala ahli keluarga lain mencarinya di kawasan pokok durian berkenaan.

“Ketika itu, saya terlihat sebatang payung yang sering dibawa kakak jika dia keluar rumah lalu menghubungi ahli keluarga lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan mayat wanita terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:37 AM