Mustaffar Kamal (dua dari kanan) turut membantu membaiki rumah lapan beranak.
Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my


Kuantan: Setiap kali hujan, sebuah keluarga di Kampung Chengal Lempong di sini, pasti tidak senang duduk apabila rumah kayu didiami lapan beranak itu tiris di merata tempat akibat atap bocor malah dinding yang reput dibiarkan berlubang tanpa dibaik pulih sejak beberapa tahun lalu.

Bukan tidak mahu membaiki kerosakan itu, tetapi kekangan kewangan mereka tidak mampu membeli atap dan dinding baru atau mengupah tukang untuk melakukan kerja berkenaan, sekali gus menggadai keselesaan mereka sekeluarga.

Namun kini, lapan beranak itu terdiri daripada pasangan warga emas, Abu Bakar Ahmad, 68, dan Sarbiah Moris, 63, bersama dua anak, menantu serta tiga cucu dapat menarik nafas lega apabila rumah mereka dibaik pulih menerusi sumbangan UMNO Bahagian Indera Mahkota, semalam.

Abu Bakar berkata, sambutan Aidilfitri bagi mereka sekeluarga tahun ini lebih bermakna kerana dapat meraikannya dalam keadaan lebih selesa selepas hampir keseluruhan atap rumah dan beberapa bahagian dinding yang berlubang terutama dapur sudah diganti baru.

“Saya dan isteri bergantung kepada wang pencen sebagai bekas pekerja pembersihan di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sebanyak RM700 sebulan manakala pendapatan anak dan menantu yang bekerja sebagai pelayan kedai makan, tukang cuci serta operator kilang hanya cukup makan.

“Sumbangan ini begitu besar maknanya bagi kami sekeluarga,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, sumbangan menerusi program kebajikan Mesra Rakyat dilaksanakan pihaknya membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Indera Mahkota iaitu DUN Beserah dan Semambu.

“Selain membaik pulih rumah keluarga berkenaan, sumbangan turut diberikan kepada sebuah lagi keluarga di Kampung Cengal Lempong yang mengalami masalah bekalan paip termasuk menggantikan saluran air paip serta menjelaskan bil air RM800 yang tertunggak sejak 2005,” katanya.

Katanya, pihaknya menyalurkan sumbangan RM100,000 bagi membaik pulih rumah golongan miskin dan mangsa ribut dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota selain akan melaksanakan pembinaan jalan di beberapa kawasan dalam masa terdekat melalui peruntukan RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 9:38 AM