MAYAT dua mangsa terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Kilang Sawit Adela, Sungai Rengit, Kota Tinggi.
MAYAT dua mangsa terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Kilang Sawit Adela, Sungai Rengit, Kota Tinggi.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Sepasang suami isteri maut manakala tiga yang lain cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer 24.5, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini.

Dalam kemalangan jam 9.38 pagi semalam, mangsa, Abdullah Asri @ Amat, 60, bersama isterinya, Mariyatul Batang, 51, yang menaiki kereta Toyota Vios meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan Grand Livina yang menghala ke Sungai Rengit bertembung dengan tiga kenderaan iaitu Vios, Avanza dan Preve dari arah bertentangan.

Katanya, seorang penumpang di dalam kereta Vios serta pemandu Grand Livina dan pemandu Avanza cedera parah.

“Kemalangan berlaku satu kilometer dari simpang masuk kilang sawit Felda Adela di sini. Ada kemungkinan pemandu Grand Livina itu mengantuk dan memasuki laluan bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan dia bertembung dengan tiga kenderaan dari arah bertentangan termasuk kereta dipandu mangsa,” katanya.

Beliau berkata, Abdullah yang berasal dari Felda Sungai Mas dan isterinya seorang warga Indonesia cedra parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa lain yang cedera parah dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk menerima rawatan,” katanya.

Katanya, hanya pemandu Proton Preve tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 7:13 AM