SEBAHAGIAN 50 pelajar Madrasatul Islamiah Ahbabul Mustafa di Kampung Menjual bergambar kenangan.

Tumpat: Bukan sembarangan rumah terbuka Aidilfitri, sebaliknya pondok Madrasatul Islamiah Ahbabul Mustafa di Kampung Menjual, di sini menganjurkannya mengikut zaman Kesultanan Melayu Lama.

Ini bermakna semua tetamu yang hadir perlu berpakaian memenuhi tema itu termasuk berpakaian seperti panglima, hulubalang lengkap bertanjak dan keris.

Malah, 30 pelajar pondok itu turut menjadi hulubalang yang melayan semua tetamu seperti era berkenaan berdasarkan gaya dan tertib mereka.

Pengasas yang juga mudir pondok itu, Ustaz Abu Aswad Yah berkata, sudah tiga tahun menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri dengan tema begitu bagi memartabatkan bangsa Melayu.

Beliau berkata, zaman Kesultanan Melayu juga menggalakkan perkembangan Islam dan pihaknya mahu ia diingati menerusi penganjuran majlis yang menarik.

“Pakaian sebegini adalah imej bangsa Melayu dan kita mendaulatkan bangsa Melayu untuk menjaga kesucian agama Islam.

“Kami ingin menghidupkan semula imej seperti ini kerana Islam bertapak di sini sejak zaman Kesultanan Melayu lagi,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Seramai 50 jemaah pondok dan pelajar hadir mengenakan busana tradisional Kesultanan Melayu yang kebanyakannya dihasilkan sendiri.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Al-Busyraa, Datuk Zulkifli Abdullah.

Seorang pelajar, Abdul Azim Abdul Wahab, 17, berkata, dia menjahit pakaian ala panglima yang digayakan itu sendiri kerana memilik asas menjahit.

Katanya, setiap tahun dia menantikan majlis itu kerana mahu merasai kemeriahan Aidilfitri dalam cara mereka yang tersendiri.

“Setiap hari kami mengenakan jubah putih, jadi pada setiap kali rumah terbuka ini, kami berpeluang mengenakan pakaian tradisional zaman Kesultanan Melayu, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 10:20 AM