X

Kundasang: Keghairahan sekumpulan 13 pelajar dan guru dari Britain selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu bertukar cemas apabila seorang mereka terjatuh ketika dalam perjalanan turun menyebabkan kaki kirinya terseliuh di Kilometer 5.5, berhampiran Pondok Paka, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, Ruth Thompson, 51, sukar bergerak turun sebelum meminta bantuan malim gunung.

Difahamkan, mangsa bersama 13 ahli kumpulannya dalam perjalanan turun ke Timpohon Gate sebelum dipercayai tergelincir.

Mangsa mengadu kaki kirinya mengalami kesakitan dan sukar bergerak menyebabkan malim gunung yang mengiringi mereka menghubungi Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) untuk bantuan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ranau Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 11.20 pagi dan mengarahkan anggota MOSAR yang berada di puncak Gunung Kinabalu supaya membantu mangsa yang berada di Pondok Paka.

“Oleh kerana tiada pengusung, anggota MOSAR terpaksa membawa mangsa turun dengan cara memikulnya sehingga ke Kilometer 5,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sebaik tiba
di Kilometer 5, mangsa diberi rawatan awal, tetapi masih memerlukan tindakan lanjut menyebabkan pasukan penyelamat mengambil keputusan membawanya turun ke Timpohon Gate.

“Seramai tiga anggota MOSAR dibantu tiga renjer taman, empat malim gunung secara bergilir-gilir membawa mangsa turun menggunakan pengusung.

“Sebuah ambulans menunggu mangsa di Timpohon Gate untuk dihantar ke Hospital Ranau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:03 AM