ANGGOTA penguat kuasa dari pelbagai agensi membuat serbuan dalam Ops BAH di sekitar Kuala Lumpur, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Goyang Inul sambil tonggang arak beramai-ramai. Itu kegiatan maksiat dilakukan 13 individu beragama Islam di sebuah pusat hiburan di Jalan Bonus di sini.

Dalam serbuan jam 12.30 malam semalam, sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dibantu pelbagai agensi melakukan serbuan mengejut di premis itu.

Hasil serbuan Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) itu, seramai 11 lelaki dan dua wanita tempatan beragama Islam itu didapati sedang mabuk sambil berjoget beramai-ramai.

Ketua Pegawai Penguat kuasa JAWI Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, pihaknya menahan 13 pengunjung pusat hiburan bertemakan dangdut itu selepas didapati meminum minuman keras.

“Manakala dalam serbuan di lokasi kedua di Jalan Doraisamy di sini, seramai 39 individu didapati melakukan kesalahan sama.

“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 55 tahun. Selain itu, beberapa pengunjung turut didapati melanggar kesalahan berpakaian tidak senonoh, termasuk lelaki berpakaian wanita,” katanya.

Individu yang didapati melakukan kesalahan minum minuman keras akan didakwa mengikut Seksyen 19 Akta 559; Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Malah, kedua-dua premis hiburan terbabit turut dikenakan kompaun kerana kesalahan menjual minuman keras tanpa lesen dan beroperasi lebih masa.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Ops BAH Azman Mahmood berkata, operasi kali ini menyasarkan tiga lokasi yang disyaki terbabit dengan gejala sosial seperti penagihan dadah, pengambilan minuman keras bagi pengunjung beragama Islam dan memeriksa lesen perniagaan pusat hiburan.

“Secara keseluruhannya, operasi ini mencapai sasaran 23 agensi penguat kuasa dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit untuk mengurangkan kadar gejala sosial di Kuala Lumpur dengan mengadakan serbuan ke lokasi berisiko tinggi secara berkala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 7:44 AM