PDRM agensi penguatkuasaan yang berhadapan dan berurusan dengan orang ramai.
PDRM agensi penguatkuasaan yang berhadapan dan berurusan dengan orang ramai.
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,557 aduan salah laku dengan 1,480 daripadanya dibuka fail siasatan ke atas pegawai dan agensi penguatkuasaan termasuk pihak berkuasa tempatan di negara ini sejak April 2011.

Itu adalah statistik terkini yang direkodkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sejak penubuhannya sehingga 25 Julai lalu dengan sebahagian besarnya membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata, berdasarkan statistik harian, sebanyak 1,069 aduan dibuat ke atas PDRM diikuti 80 ke atas Jabatan Imigresen, 50 ke atas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diikuti 19 agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan (Penguatkuasaan) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Katanya, untuk tahun ini saja, pihaknya menerima 228 aduan dan majoritinya masih lagi ke atas PDRM.

“Bagaimanapun, daripada semua aduan itu, 889 daripada aduan yang diterima sejak April 2011 itu ditolak berikutan ada yang di luar bidang kuasa dan faktor lain.

“Sebanyak 28 aduan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 52 dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib, 41 dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib PDRM dan SPRM manakala 359 aduan dilakukan siasatan penuh,” katanya kepada Metro Ahad.

Beliau berkata, bilangan anggota dan pegawai yang ramai serta peruntukan penguatkuasaan undang-undang yang besar adalah antara faktor PDRM mendahului agensi penguatkuasaan lain daripada aspek penerimaan aduan daripada orang ramai.

“PDRM adalah agensi penguatkuasaan utama di negara ini yang berhadapan dan berurusan dengan orang ramai.

“Disebabkan itu mungkin ramai yang tidak puas hati dengan perkhidmatan ditawarkan anggota dan pegawai PDRM yang mendorong mereka membuat aduan,” katanya.

Mengenai peratusan aduan yang diselesaikan, Yaacob berkata, semua aduan yang dikemukakan pada 2011 hingga 2014 berjaya diselesaikan sepenuhnya, manakala 93 peratus aduan diselesaikan pada tahun lalu dan 34 peratus hingga ke bulan Julai tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan Kaunter Aduan dan Perkhidmatan Pelanggan suruhanjaya itu di tingkat bawah, bangunan Menara Usahawan di Putrajaya adalah bagi memudahkan orang awam membuat aduan secara bersemuka seterusnya memastikan perkhidmatan menjadi lebih tepat dan cepat.

Yaacob berkata, fungsi utama kaunter itu adalah untuk menerima aduan, pertanyaan umum, khidmat nasihat dan maklum balas daripada pelanggan selain berfungsi mengurus serta memantau urusan pelanggan dan membuat kajian pengukuran tahap kepuasan pelanggan.

Beliau berkata, jenis salah laku yang sering diadu orang ramai adalah pegawai penguat kuasa tidak mengikut undang-undang atau prosedur operasi standard (SOP), tindakan tidak adil atau bersifat menindas, kegagalan mengambil tindakan, salah guna kuasa, kelewatan dalam mengambil tindakan atau melakukan siasatan dan pembabitan pegawai penguat kuasa dalam kesalahan bersifat jenayah.

Mengulas lanjut mengenai tindakan EAIC ke atas aduan yang diterima pihaknya selain merujuk kepada SPRM dan unit tatatertib, Yaacob berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan sendiri untuk menyiasat aduan yang diterima.

“Sejak 2012 hingga 25 Julai 2016, sebanyak 366 kertas siasatan dibuka dengan 305 membabitkan PDRM, 21 imigresen, 10 JPJ dan agensi penguatkuasaan lain.

“Daripada jumlah itu, 244 kertas siasatan diputuskan oleh EAIC untuk tindakan manakala 169 daripadanya ditolak atau tidak dapat disahkan aduannya, 53 dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib, satu dirujuk kepada pendakwa raya, satu kepada SPRM, 20 disyorkan surat teguran secara pentadbiran manakala bakinya belum diputuskan suruhanjaya,” katanya.

Katanya, setakat ini EAIC menerima banyak respons positif daripada agensi penguatkuasaan malah banyak tindakan yang diambil berdasarkan syor yang dikeluarkan agensi itu.

“Setakat ini EAIC mengesyorkan 19 tindakan tatatertib yang setimpal, satu tindakan lucut hak emolumen dan turun pangkat, satu digantung kerja, 11 diberikan amaran.

“Berdasarkan syor berkenaan, setakat ini sebanyak sembilan teguran dikeluarkan, tujuh amaran diberikan agensi kepada pegawai atau anggota berkaitan, 11 dikenakan tindakan dalaman, tiga tidak dikenakan tindakan lanjut manakala dua lagi belum menerima sebarang maklum balas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:06 AM
Digital NSTP Subscribe