MUSTAPA (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Kamarulzaman sambil diperhatikan Othman.
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


Kulim: Sempena penganjuran Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2016 Sirkit 1 di Kulim Hi-Tech Park di sini, baru-baru ini, rombongan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) turut mengunjungi pusat tahfiz Madrasah Ashraful Madaris di Kampung Keladi, bagi menyerahkan sumbangan #HMKotakRezeki 2016.

Penyerahan #HMKotakRezeki 2016 dan wang tunai itu disempurnakan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar yang diiringi Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi Titipan Kasih Othman Mamat.

Mudir pusat tahfiz berkenaan Kamarulzaman Abdul Ali berkata, pihaknya terharu dan berterima kasih kepada Harian Metro apabila dipilih sebagai penerima sumbangan sempena program TKHM yang secara tidak langsung dapat memberikan keceriaan kepada pelajar.

“Alhamdulillah, saya bagi pihak madrasah mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana sudi datang untuk menziarahi madrasah kami dan amat mengalu-alukan kedatangan ini.

“Pada masa sama, kami amat bersyukur di atas penghargaan Harian Metro dan penaja menghulurkan sumbangan ikhlas yang dapat meringankan beban kami,” katanya.

Katanya, pusat tahfiz berkenaan yang diwujudkan sejak sembilan tahun lalu kini mempunyai 38 pelajar lelaki dan 25 pelajar perempuan yang datang dari kawasan utara tanah air serta sekitarnya.

Katanya, pelajar yang mengikuti pengajian di pusat tahfiz berkenaan berusia sembilan hingga 16 tahun dan bangunan baru dua tingkat itu mula digunakan sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 7:49 AM