JENAZAH Muhammad Amirul disembahyangkan anggota dan pegawai tentera.
Ahmad Ismail


Segamat: “Niat arwah untuk membelikan kereta baru buat kami tidak kesampaian, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” kata Rosidah Othman, 41, ibu kepada anggota tentera, Prebet Muhammad Amirul Mohd Sham, 19, yang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching, Sarawak, kelmarin.

Muhammad Amirul dari 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit, Sri Aman, koma apabila lemas ketika mengikuti latihan berenang di Tasik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 8 Ogos lalu, namun meninggal dunia keesokan harinya ketika dirawat di HUS.

Rosidah berkata, anak keduanya daripada tiga beradik itu ditugaskan ke kem berkenaan sejak beberapa bulan lalu dan sering menghubunginya dan suami, Mohd Sham Abd Hamid melalui telefon bimbit masing-masing.

“Setiap hari dia pasti akan hubungi saya atau ayahnya. Paling tidak pun dia pasti menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk bertanya khabar keluarga.

“Kali terakhir pulang ke kampung di FELDA Medoi ketika bercuti selama dua minggu Ramadan lalu dan tidak pulang berhari raya kerana bertugas,” katanya ditemui di rumahnya di sini, malam kelmarin.

Menurut Rosidah, arwah mahu membelikan sebuah kereta untuk kegunaan keluarga dan memintanya meninjau ke kedai kereta di sekitar Segamat sebelum mengirim wang untuk pendahuluan.

“Dia minta saya dan suami meninjau kereta yang sesuai dan akan kirimkan wang bagi urusan pendahuluan kerana dia mahu kereta itu untuk kegunaan kami.

“Tetapi kini semuanya tinggal harapan dan hajat dia untuk belikan kereta bagi kegunaan keluarga tidak kesampaian selepas kami menerima berita dia meninggal dunia akibat lemas ketika latihan Isnin lalu,” katanya.

Katanya, Muhammad Amirul meminati kerjaya pasukan beruniform dan dia membuat keputusan menyertai tentera selepas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Menurut Rosidah lagi, pada hari kejadian, arwah ada menghubunginya sebelum menyertai latihan namun tidak dapat bercakap kerana telefon bimbitnya tertinggal di kantin sekolah tempat dia bekerja.

“Saya tidak menghubunginya semula kerana yakin dia sedang dalam latihan selain tidak mahu mengganggunya,” katanya.

Difahamkan, beberapa jurulatih bertungkus-lumus membantu mangsa sejurus diselamatkan daripada tasik berkenaan tetapi dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam FELDA Medoi di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin selepas diterbangkan dari Kuching, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 9:18 AM