Kamarudin mengarahkan Tuah memanjat pokok kelapa dan memetik hanya kelapa tua.
Kamarudin (kiri) dan Karim memungut kelapa dipetik Tuah.
KARIM mengutip dan memasukkan kelapa ke dalam motosikal roda tiganya.

Alor Gajah: Berikutan kesukaran mendapatkan bekalan kelapa, seorang peniaga santan mengadakan perkongsian pintar dengan pembekal kelapa bagi mewujudkan situasi menang- menang antara kedua-dua pihak.

Karim Hassan, 63, menyediakan kenderaan untuk mengangkut kelapa dipetik Kamarudin Landot, 54, yang tidak mempunyai kenderaan untuk berbuat demikian tetapi memiliki kelebihan dari aspek menyediakan seekor beruk jantan untuk memetik kelapa.

Perkongsian pintar itu bukan setakat memudahkan tugas masing-masing, malah memastikan kedua-dua pihak memperoleh manfaat bersama demi kelangsungan hidup.

Karim yang memiliki pengalaman empat tahun mengusahakan perniagaan santan berkata, dia dan peniaga santan yang lain di Masjid Tanah menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan kelapa kerana jumlah peniaga berkenaan mengatasi jumlah pembekal kelapa.

“Saya mencari tuan punya pokok kelapa di sekitar kampung saya ini sebelum meminta Kamarudin atau Pak Din datang dengan membawa beruknya untuk memetik kelapa.

“Pak Din tidak membayar kepada pemilik pokok kelapa seperti yang dilakukan kebanyakan pemetik kelapa lain iaitu mereka membayar RM1 sebiji kelapa.

Sebaliknya, Pak Din mengambil separuh daripada kelapa yang dipetik dan separuh lagi diberikan kepada pemilik pokok,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Apit, Masjid Tanah, semalam.

Karim yang juga Tok Sidang kampung berkenaan berkata, dia membeli kelapa yang belum dikopek milik Pak Din pada harga RM1 sebiji, manakala yang sudah dikopek pada harga RM1.40 sebiji.

Katanya, dia menunggang motosikal roda tiga ke tempat Pak Din memetik kelapa untuk membantu mengutip kelapa sebelum dibawa pulang ke tempat memproses kelapa di bahagian belakang rumahnya.

“Dengan cara ini, saya senang dan Pak Din pun senang. Saya dapat bekalan kelapa, Pak Din pula mendapat upah yang berpatutan,” katanya.

Karim berkata, selain menjual santan di rumah, dia turut membekalkan santan kepada beberapa pengusaha kantin sekolah sekitar Masjid Tanah pada harga RM8 satu kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 10:03 AM