Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: “Saya tak tahu apa-apa dan terkejut apabila diberitahu Zack Kapcai difilemkan. Itu pun saya tahu daripada kawan yang mengucapkan tahniah,” demikian kata kartunis majalah humor Gila-Gila Roslim Jamil.

Roslim yang lebih dikenali umum sebagai Zack Kapcai berkata, dia berasa sangat terkilan dengan berita berkenaan yang didengar daripada mulut orang lain bukan daripada penerbit filem itu, David Teo.

“Seluruh Malaysia tahu Zack Kapcai hasil karya saya dan sinonim dalam majalah Gila-Gila sejak 1988 lagi.

“Sampaikan orang tak panggil saya Roslim tapi Zack Kapcai penangan siri kartun itu.

“Tetapi, bila ada pihak tiba-tiba angkat tajuk Zack Kapcai dalam sebuah filem sudah tentu saya terkilan dan kecewa seolah-olah hasil karya saya tidak dihormati,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau merujuk kepada filem aksi komedi terbaru, Zack Kapcai terbitan Metrowealth Movies Production lakonan Fad Bocey, Rahim R2, Syuk SYJ dan Julia Marin yang menemui penonton, 14 Julai lalu.

Sementara itu, Presiden Kelab Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar atau Juragan berkata, walaupun kartunis bukan karyawan diagungkan di Malaysia, tetapi golongan seperti mereka juga menyumbang kepada industri hiburan terutama dunia lawak yang menjadi fenomena sekarang.

“Jika sesebuah karya kartunis difilemkan pasti suatu penghormatan kepada kartunis itu. Tetapi jika kartunis itu langsung tidak tahu menahu karyanya difilemkan ia bagaikan satu penghinaan.

“Zack Kapcai adalah hasil penat lelah Roslim memerah otak untuk menghasilkannya. Ia tersiar sejak 1988dan hingga kini masih disiar dalam majalah Gila-Gila.

“Sesuatu yang dikesalkan dalam isu filem ini, penerbit sengaja dengan niat mempergunakan populariti karya Roslim untuk melariskan produk mereka,” katanya.

Menurutnya, mereka bersuara bukan soal tidak diberikan royalti, tetapi isu sebenar adalah peradaban hormat menghormati hak sesama karyawan.

“Sebagai penerbit dia (David Teo) harus berasa malu dengan ‘kecurian’ sengaja ini. Kartunis biasanya meminta keizinan syarikat filem jika ingin melukis hasil karya filem mereka.

“Kalau hendak guna apa-apa bahkan tajuk sekalipun, sepatutnya datang berbincang. Dalam hal ini, mungkin lebih manis jika Roslim dimaklumkan terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Pictures (MiG) David Teo gagal berikutan panggilan tidak berjawab dan mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp tidak berbalas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:35 AM