Radiah ceria dengan kembarnya, Sharifah (kanan) sebelum bertolak menunaikan Haji di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.
Siti Farahiyah Aziz

Kelana Jaya: Biarpun dilahirkan bersama, Radiah Maulud, 48, terpaksa meninggalkan kembarnya, Sharifah Maulud, 48, selama sebulan bagi menyempurnakan rukun Islam kelima.

Radiah berkata, hubungan mereka sangat rapat dan sudah pasti berasa berat hati meninggalkan kembarnya tapi perlu kuatkan semangat ke Tanah Suci untuk beribadah dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

“Sejak kecil pelbagai perkara dilakukan bersama tapi keadaan sedikit berubah apabila masing-masing sudah berumah tangga dan ada komitmen sendiri.

“Apabila dimaklumkan kepada kembar saya dan suami akan mengerjakan haji, dia secara tidak sengaja mengalirkan air mata kegembiraan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, kelmarin.

Menurutnya, mereka tidak merancang untuk pergi bersama kerana ketika mendaftar dia menetap di Melaka, manakala kembarnya di Selangor.

“Ya, memang seronok kalau kami boleh pergi bersama tapi rezeki setiap orang itu berbeza dan mungkin disebabkan dia masih terikat dengan komitmen terhadap anak.

“Jadi saya akan mendoakannya supaya suatu hari nanti gilirannya pula dijemput Allah SWT sebagai tetamu rumah-Nya,” katanya yang kini menetap di Mersing, Johor.

Radiah berkata, dia yang dijangka ke Tanah Suci pada 2018 mendapat panggilan dua tahun lebih awal dan bersyukur kerana terpilih antara umat Islam yang mendaftar.

“Jadi persediaan fizikal dan mental sangat penting kerana di sana pelbagai perkara luar jangkaan boleh berlaku.

“Saya dan suami sudah mengikuti kursus yang dianjurkan pihak Tabung Haji dalam tempoh tujuh minggu selepas panggilan dan turut melakukan senaman ringan seperti berjalan bagi menguatkan kaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 9:10 AM