THANHYA bersama ibu Parvathy dan bapa, Puspakaran yang datang memberi sokongan kepadanya ketika menyertai Pertandingan Kalam Jamaie Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2016.
Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my

Kuantan: Perkataan ‘halib’ dalam bahasa Arab atau susu adalah yang pertama keluar daripada mulut P Thanhya Pharassanna Naidu, ketika berusia tiga tahun mencetuskan minatnya untuk terus bertutur dalam bahasa itu sehingga ke hari ini.

Menggunakan bahasa Arab sebagai medium perbualan di rumah ketika keluarganya menetap di Arab Saudi menjadikan kanak-kanak berbangsa India berusia 11 tahun itu fasih bertutur bahasa Arab.

Ketika itu, bapa Thanhya Pharassanna Naidu, K Puspakaran, 46, bertugas sebagai pensyarah di Prince Sultan University, Riyadh.

Ibunya, S Parvathy, 46, adalah guru bahasa Inggeris juga menggunakan bahasa Arab dalam perbualan harian di rumah.

Thanhya Pharassanna Naidu yang kini belajar di tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah berkata, ketika di Arab Saudi dia lebih mudah berkomunikasi dalam bahasa Arab.

Katanya, ia disebabkan pengaruh persekitaran sehingga dia meminta untuk di hantar ke prasekolah Arab, berbanding dua abangnya yang dihantar belajar di sekolah antarabangsa.

“Saya boleh bertutur bahasa Arab bermula usia tiga tahun berbanding bahasa lain termasuk Bahasa Tamil dan saya memilih berbual dengan ibu dan ayah menggunakan bahasa itu tetapi dengan adik-beradik, saya menggunakan bahasa ibunda kami.

“Apabila kami pulang ke Malaysia ketika berusia lima tahun, saya juga memilih untuk masuk ke sekolah kebangsaan untuk berkawan dengan murid beragama Islam.

“Ia sekali gus membolehkan saya terus menggunakan bahasa Arab dalam perbualan seharian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 9:07 AM