NORZURAIDAH hilang sejak Khamis lalu.
NORZURAIDAH hilang sejak Khamis lalu.
myMetro

Rembau: “Adik (anak) pulanglah ke rumah. Nenek rindu dan selalu bertanya ke mana adik pergi,” kata Abu Bakar Husin, 49, bapa kepada Norzuraidah, 18, yang juga seorang atlet Negeri Sembilan selepas dipercayai lari mengikut seorang pengkid sejak Khamis lalu.

Abu Bakar yang menetap di Astana Raja, Kota, Rembau, di sini, berkata, Norzuraidah yang lebih mesra dipanggil adik gagal dikesan sebaik menghantarnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tungku Besar, Tampin jam 7.10 pagi hari kejadian.

Katanya, pada hari kejadian, dia dimaklumkan guru anaknya yang juga pelajar tingkatan enam rendah tidak hadir ke sekolah.

“Kami sekeluarga puas mencarinya di sekitar negeri ini, Melaka dan Kuala Lumpur, tetapi gagal dikesan. Seperti kebiasaan, dia pulang ke rumah menaiki bas.

“Saya menjemputnya jam 2.30 petang di pondok bas di Kota, tetapi Khamis lalu dia tidak kelihatan hingga jam 5 petang.

“Sebaik menghubunginya, talian telefon dimatikan,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, dekat sini, Jumaat lalu.

Abu Bakar yang bekerja sendiri berkata, kali terakhir anaknya dilihat memakai kemeja-T berwarna biru, berseluar jean dan bertudung hitam.

Katanya lagi, Norzuraidah rapat dengan neneknya, Ramlah Sudin, 80 yang kini menghidap sakit tua.

“Ayah tidak tahu kenapa adik sanggup tinggalkan nenek. Dia selalu bertanya ke mana adik pergi,” katanya.

Ibu Norzuraidah, Roslaini Abdul Wahab, 48, berkata, anaknya tiada masalah dengan ahli keluarga termasuk tiga adik-beradiknya.

Roslaini yang bekerja di kantin di Maahad As-Sofa, di sini berkata, anaknya terpilih menyertai pasukan negeri sejak Jun lalu.

“Sebaik menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Norzuraidah menerima tawaran menyambung pengajian, namun menolaknya kerana tidak mahu berpisah dengan keluarga,” katanya.

Roslaini berkata, dia mengesyaki anaknya mengikut kenalan perempuan berusia 22 tahun dengan menunggang motosikal.

“Dia baru saja mengenali wanita berpenampilan seperti lelaki itu melalui aplikasi WeChat, baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan kes dirujuk ke IPD Rembau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 10:24 AM