ANTARA GRO warga asing yang dicekup dalam gerakan di Jalan Klang Lama.
Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seorang pelanggan lelaki yang sedang menikmati urutan batin dilakukan seorang tukang picit wanita Thailand terkejut besar sebaik disergah pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, lelaki tempatan itu didapati berada di dalam bilik khas yang hanya ditutup langsir nipis di sebuah premis di Jalan Mega Mendung, Jalan Klang Lama di sini.

Dalam operasi khas diadakan anggota Jabatan Imigresen itu seramai 14 wanita warga asing diberkas ketika sedang bekerja sebagai tukang urut di tiga pusat urutan refleksologi diserbu.

Penolong Pengarah Imigresen JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Sharulnizam Ismail berkata, hasil risikan selama seminggu mendapati ketiga-tiga rumah urut itu turut menawarkan perkhidmatan maksiat seperti khidmat urut badan ke badan (B2B), batin dan seks kepada pelanggan.

Menurutnya, salah seorang wanita warga Thailand yang diberkas didapati baru seminggu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Dia menyamar sebagai pelancong asing untuk bekerja sebagai tukang urut haram di Malaysia.

“Empat lelaki tempatan turut ditahan untuk siasatan dalam Ops Sayang itu. Salah seorang lelaki yang ditahan mendakwa mengunjungi premis berkenaan hanya untuk mengurut kakinya yang sakit sebelum diberkas,” katanya.

Katanya, kebanyakan wanita warga asing itu tidak mempunyai permit kerja yang sah.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan.

“Selain itu, mereka turut diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(10(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:26 AM