ANGGOTA JPAM menangkap beruk di Kuala Nerang.
myMetro

Padang Terap: Enam sekeluarga yang berehat selepas makan tengah hari berdepan detik cemas hampir 30 minit selepas seekor beruk betina liar berkeliaran di halaman rumah mereka di Felda Bukit Tembaga, Kuala Nerang dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, beruk setinggi lebih satu meter itu dipercayai datang dari arah kawasan hutan berhampiran dan mencari perlindungan selain kelaparan.

Haiwan itu cuba memasuki rumah dipercayai mahu mendapatkan makanan, tetapi gagal kerana penghuni rumah menyedari kehadirannya lalu sempat menutup pintu disebabkan bimbang menyerang tambahan pula terdapat seorang bayi berusia tiga bulan.

Bagaimanapun, beruk itu bertindak lebih agresif selepas terdengar suara bayi menangis menyebabkan haiwan itu tidak berganjak walaupun cuba dihalau penduduk kampung.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Padang Terap Mohd Khairi Che Kamil berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 2.15 petang sebelum bergegas ke lokasi untuk menangkap haiwan itu.

Menurutnya, beliau bersama tiga anggota tiba di lokasi kejadian pada jam 2.30 petang untuk menangkap haiwan berkenaan yang masih berada di perkarangan rumah itu.

Katanya, anggota JPAM yang memiliki kemahiran mengambil masa lima minit menggunakan penjerut dan selimut untuk menangkap haiwan berkenaan.

Menurutnya, beruk itu dibawa ke Pejabat JPAM Padang Terap untuk mendapatkan perlindungan sebelum dilepaskan ke habitat asal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:35 AM