Zainudin dan Rozanita melihat  jenazah Dayana Shafiqah yang  terjatuh di air terjun Lata Medang.
Zainudin dan Rozanita melihat jenazah Dayana Shafiqah yang terjatuh di air terjun Lata Medang.

Kuala Kubu Bharu: “Dia sempat menghulurkan tangan namun kami berdua jatuh bersama. Saya terjatuh ke dalam air manakala dahinya terhantuk di batu,” kata Aisyah Farina Zaidi, 24, rakan pendaki yang maut selepas terjatuh dari ketinggian 10 meter di Air Terjun Lata Medang, Pertak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Dayana Shafiqah Zainudin, 24, maut manakala Aisyah Farina patah tulang bahu.

Aisyah berkata, mereka bersama tiga rakan lain mendaki Bukit Kutu hingga ke tingkat dua lata dan berehat di kawasan terbabit.

“Dayana mahu mengambil gambar di kawasan air terjun namun tergelincir. Saya nekad menyambut tangannya walaupun mengetahui tiada tempat untuk berpaut.

“Saya harap kami jatuh ke dalam air namun tidak sangka kawasan itu ada banyak batu,” katanya di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

Menurutnya, selepas kejadian, pendaki lain cuba memberikan rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan dan Dayana yang masih sedarkan segera dibawa turun.

“Namun selang dua jam perjalanan, dia mengadu sakit dan sukar bernafas. Cubaan memberi bantuan pernafasan gagal dan disahkan meninggal dunia,” katanya yang memaklumkan rakannya itu bertugas sebagai guru di sekolah swasta di Shah Alam.

Dalam pada itu, adik mangsa, Mohamad Iqram, 21, berkata, kali terakhir dia menemui arwah selepas membelikan pisang keju, petang kelmarin

“Saya jarang jumpa kakak walaupun tinggal serumah kerana saya bekerja syif malam.

“Dia gemar mendaki namun tidak sangka ini aktiviti terakhirnya,” katanya ditemani bapa, Zainudin Jamil, 51, dan ibu, Rozanita Bt Mohd Yusoph, 50.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, punca sebenar kejadian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:08 AM