KOLEKSI piring hitam.
JEFRI menunjukkan koleksi cincin pelbagai jenis permata yang dijual di kedainya.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Tagline ‘Mu Nok Ape, Kabor Je Kite Ade’ yang digunakan sebuah kedai milik peminat barangan antik di Jalan Paya Keladi di sini, menggambarkan pelbagai barangan yang dikumpul dan dijualnya.

Kedai Jeff Antik yang tidak asing dalam kalangan pengumpul barangan antik itu beroperasi sejak 11 tahun lalu boleh diklasifikasikan muzium mini berikutan mempunyai pelbagai barangan termasuk senjata silam yang mempunyai nilai sejarahnya tersendiri.

Senjata tradisional seperti keris, pedang, tombak dan pedang samurai atau katana adalah koleksi paling bernilai kerana didakwa pernah digunakan ketika zaman penjajahan Jepun.

Lebih menarik apabila pemiliknya, Jefri Jahit, 43, turut menawarkan barangan lama lain seperti tempayan berusia lebih 100 tahun, kamera antik, piring hitam dan pelbagai jenis batu permata elit termasuk zamrud dan delima selain barangan pelik yang menjadi perhatian ramai iaitu ‘batu timbul’.

Jefri berkata, dia memilih berniaga barangan antik itu kerana mendapat permintaan ramai daripada peminatnya tersendiri, malah jualan seperti itu tidak banyak di negara ini.

“Sebelum ini saya berniaga di Pasar Besar Kedai Payang selama 26 tahun sebelum mendapatkan kedai yang sesuai untuk menjual pelbagai barangan lama itu.

“Peminat barangan purba atau antik yang berkunjung ke Terengganu pasti bertandang ke kedai saya untuk melihat dan membeli koleksi terbaru.

“Pelancong asing yang juga pengumpul barang antik turut menjadi pelanggan tetap. Baru-baru ini pelancong England membelanjakan RM1,000 membeli pelbagai barangan antik sebagai koleksi di kediaman mereka,” katanya, semalam.

Katanya, kebanyakan barangan lama itu diperoleh daripada individu tertentu terutama yang mewarisi barang antik daripada nenek moyang mereka.

“Jika ada yang mahu menjual barangan antik seperti syiling lama, keris, badik dan tembikar, mereka berkunjung ke sini.

“Saya menilai barangan itu sebelum membuat keputusan membelinya kerana ada antara mereka cuba menjual barang baru yang tiada nilai, tetapi meminta harga tinggi.

“Bukan semua barangan yang kelihatan lama dan usang itu berharga, ia perlu diteliti dengan pelbagai kaedah serta perlu mengetahui asal usulnya,” katanya.

Menurutnya, dia juga menjalankan proses tukar barang atau sistem barter dengan pelanggan terutama jika mereka tidak mampu.

“Barang yang mahu ditukar berdasarkan suka sama suka dan bergantung kepada jenis barang,” katanya.

Bercerita mengenai risiko perniagaannya, Jefri berkata, dia pernah kerugian sehingga RM100,000 apabila kedainya dipecah masuk pada 2014.

“Pelbagai barangan berharga seperti cincin zamrud dan batu delima selain barangan lain hilang.

“Akibat kejadian itu, semangat saya luntur, tetapi sokongan keluarga, rakan serta pelanggan mengembalikan semula keyakinan saya meneruskan perniagaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 7:18 AM