NUR Aisyah yang menghidap penyakit jantung berlubang bersama ibunya Rositah dan bapanya Abd Rahim di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Seorang bayi perempuan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan bantuan kewangan kira-kira RM30,000 daripada orang ramai untuk membiayai kos pembedahan membaiki saluran darah ke paru-paru dengan segera bagi menyelamatkan nyawanya.

Nur Aisyah Dalila Abd Rahim, dua bulan, disahkan mengalami masalah saluran darah tersumbat dan jantung berlubang, Tetralogy of Fallot (TOF) sebaik saja dilahirkan di Hospital Kulim, Kedah, Jun lalu.

Ia menyebabkan Nur Aisyah terpaksa hidup bergantung dengan sejenis ubat Prostin bagi memastikan saluran darah yang membawa oksigen dapat sampai ke otaknya.

Ibunya, Rositah Kames, 39, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu juga sudah menjadi kebiruan dan doktor yang merawat mahu pembedahan segera dilakukan bagi menyelamatkan nyawanya.

“Nur Aisyah dipindahkan ke Hospital Gleneagles, di sini, Ahad lalu dan pembedahan BT Shunt akan dilakukan di hospital ini pada bila-bila masa saja jika wang yang diperlukan itu dapat disediakan segera.

“Kami sekeluarga tidak mampu membiayai pembedahan itu kerana saya hanya seorang suri rumah manakala suami, Abd Rahim Mohd Napiah, 43, bekerja di sebuah syarikat pengangkutan dengan pendapatan bulanan bersih kira-kira RM3,000 sahaja.

“Dengan pendapatan itulah kami empat beranak terpaksa berjimat cermat menyara keluarga termasuk membiayai rawatan Nur Aisyah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Rositah, Nur Aisyah tidak boleh terus bergantung kepada ubat Prostin berkenaan kerana harganya mahal selain dipercayai mempunyai kesan sampingan jika digunakan secara berterusan.

Katanya, jika pembedahan membaiki saluran tersumbat itu dilakukan segera, Nur Aisyah akan dapat bernafas dengan normal tanpa bantuan ubat berkenaan.

Rositah berkata, Nur Aisyah juga memerlukan pembedahan lain untuk merawat masalah jantungnya yang berlubang namun ia hanya dilakukan selepas umurnya satu tahun.

“Kami sekeluarga berharap Nur Aisyah akan sihat sepenuhnya seperti bayi lain dan merayu jasa baik orang ramai untuk menghulurkan sumbangan bagi membolehkan pembedahan itu segera dilakukan,” katanya.

Sementara itu, bagi orang ramai yang ingin membantu Nur Aisyah, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27148977.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 6:30 AM