Sebahagian daripada peserta sedia memulakan langkah menerusi Walk-A-Mile 2016 di Taman Botani Perdana, semalam.
Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Seramai 3,800 peserta menyertai acara Walk-A-Mile (WAM) yang dianjurkan oleh Nestle Malaysia Berhad (Nestle) menerusi Nestle Omega Plus bersama Yayasan Jantung Malaysia (YJM) sempena Bulan Jantung Sedunia di Taman Botani Perdana, semalam.

Dalam program tahunan kali ke-15 itu, Nestle Omega Plus menyerahkan cek sumbangan sebanyak RM30,000 kepada YJM sebagai sokongan terhadap usaha dan dedikasi YJM memberi pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

Presiden YJM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di Malaysia di mana setiap 15 minit ada satu kes kematian akibat penyakit itu.

“Program WAM menggalakkan rakyat Malaysia bersenam sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjaga kesihatan terutama jantung.

“Hanya berjalan pantas 15 minit sehari boleh mengurangkan risiko kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz, Timbalan Presiden YJM Tan Sri Datuk Kamaruzzaman Shariff, Pengerusi YJM Datuk Dr J S Sambhi, Timbalan Pengerusi YJM Datuk Gurbakhash Singh dan Pengarah Eksekutif Pemasaran Nestle Chew Soi Ping.

Ahmad Sarji berkata, merujuk kepada statistik 2011 hingga tahun lalu, kajian menunjukkan sebanyak 32.6 peratus peningkatan secara mendadak bagi individu berusia 18 tahun ke atas yang mempunyai tahap kolesterol tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:21 AM