DR Mahathir bersama Anwar di Mahkamah Rayuan Kuasa-Kuasa Khas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Selepas 18 tahun tiga hari tidak ‘bertentang mata’, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya bersua muka dengan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi, semalam.

Pertemuan itu menarik perhatian ramai apabila Mahathir muncul bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pendengaran permohonan Anwar yang mencabar pelaksanaan Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN).

Anwar dilihat bersalaman dengan Mahathir yang duduk di galeri awam mahkamah sebaik saja bekas Ketua Pembangkang itu tiba dengan diiringi pegawai penjara.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mahathir berkata, beliau hadir kerana berminat dengan kes berkenaan yang membabitkan keselamatan negara selain ia telah diulas di blog beliau.

Dalam pertemuan kira-kira 20 minit di bilik saksi beliau berkata, mereka hanya berbincang mengenai kes itu, namun tiada sebarang perkara lama dibangkitkan.

Bagaimanapun, beliau menafikan kehadirannya itu sebagai tanda sudah berdamai dengan Anwar.

“I’m not making peace with him (Saya bukan mahu berdamai dengan beliau),” katanya.

Menjawab soalan adakah beliau menyokong sekiranya Anwar dipilih menjadi pemerintah negara pada masa akan datang, Mahathir hanya menjawab ‘Ia terlalu awal.’

Dalam pada itu Anwar ketika ditemui wartawan berkata, dalam pertemuan itu, beliau melahirkan penghargaan terhadap kesudian Mahathir untuk hadir dan menyokong kes saman dikemukakannya.

“Beliau mendoakan kejayaan dan kesihatan saya. Kami akan terus berhubung,” katanya.

Anwar dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Oktober ini untuk hujahan lanjut pihak berkenaan permohonan Anwar.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Hanipah Farikullah pada prosiding di dalam kamar dengan dihadiri Anwar selaku plaintif yang diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya serta Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh yang mewakili kerajaan dan MKN selaku defendan.

Amarjeet Singh ketika ditemui media berkata, dalam bantahan awal pihaknya, beliau berhujah bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 11:16 AM