Dadah jenis kokain yang disorok di dalam plastik coklat yang dirampas.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Di bahagian atas balang diletakkan coklat import manakala di bahagian bawah pula diisi dadah kokain.

Itu antara taktik sindiket dadah didalangi warga Nigeria yang menggunakan khidmat ‘keldai dadah’ menyeludup masuk dadah Amerika Latin itu ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagaimanapun, modus operandi sindiket itu dikesan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman hasil penahanan dua wanita tempatan bersama 226 ketulan dadah kokain seberat 4.3 kilogram dianggarkan bernilai RM1 juta pada Jumaat lalu.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Senior Asisten Kang Chez Chiang berkata, susulan rampasan pertama itu, pihaknya melakukan empat lagi serbuan di sekitar Selangor dan merampas dadah kokain dan syabu dianggarkan bernilai RM 3 juta.

“Pasukan STING bertindak menyerbu sebuah pangsapuri di Kota Damansara sebelum menahan seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Nigeria yang dipercayai ahli sindiket sama.

“Kami turut merampas kereta model Peugeot dan wang tunai berjumlah RM3,150,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, di sini, semalam.

Beliau berkata, serbuan seterusnya dilakukan pada Sabtu lalu bermula jam 3 petang di tiga pangsapuri di Seri Kembangan dan Puchong, Selangor, sebelum polis merampas 22.5 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta di sembunyikan di dalam 44 beg galas.

“Beg berkenaan dibawa masuk dari China. Mereka menjahit bahagian belakang beg selepas menyorokkan dadah di dalamnya. Susulan itu polis menahan empat lelaki Nigeria berusia 32 hingga 37 tahun selain merampas wang tunai berjumlah RM328,000.

“Serbuan ketiga dilakukan di Terminal Bas KLIA, Sepang, jam 3.30 petang kelmarin, sebelum polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dan merampas dua bungkus dadah kokain yang disorokkan dalam dua beg galas,” katanya.

Beliau berkata, dua wanita tempatan yang dijadikan ‘keldai dadah’ itu didapati baru sahaja dibebaskan dari penjara atas jenayah dadah namun tidak serik selepas mendapat tawaran baru sindiket.

“Kami juga mendapati dadah kokain berasal dari negara Amerika Latin mahu dihantar ke pasaran negara jiran terutamanya Thailand memandangkan ia tidak mendapat sambutan di negara ini.

“Sindiket yang berada di negara ini sanggup mengambil risiko termasuk membayar kos penerbangan ‘keldai dadah’ untuk membawa keluar dan masuk bahan terlarang itu,” katanya.

Menurutnya, sindiket dadah sentiasa mengubah taktik modus operandi mereka bagi menembusi kawalan di pintu masuk sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 6:28 AM