POKOK  tumbang dipukul ribut di FELDA Jerangau.
POKOK tumbang dipukul ribut di FELDA Jerangau.
 SEBAHAGIAN rumah penduduk yang terbabit dalam kejadian ribut.
SEBAHAGIAN rumah penduduk yang terbabit dalam kejadian ribut.
 ANGGOTA bomba  mengalihkan dahan pokok di atas bumbung rumah.
ANGGOTA bomba mengalihkan dahan pokok di atas bumbung rumah.
Rosli Ilham

Dungun: Lebih 100 keluarga mangsa ribut di FELDA Jerangau di sini, yang bergelap akibat terputus bekalan elektrik sejak petang kelmarin bersyukur kerana masih dapat menyambut Aidiladha selepas bekalan disambung semula di kawasan mereka.

Walaupun kebanyakan mereka terpaksa menyambut Aidiladha dalam keadaan serba kekurangan selepas kediaman rosak akibat dibadai ribut, sambutan perayaan itu tetap dilakukan secara sederhana.

Seorang mangsa, Samsiah Ibrahim, 56, berkata, sambutan Aidiladha tetap meriah dengan kehadiran 10 anak dan 15 cucunya yang pulang berkumpul bersama walaupun terpaksa menyambut dalam keadaan serba kekurangan selepas rumahnya dihempap pokok durian.

Menurutnya, pada mulanya hasrat menyambut Aidiladha seakan-akan musnah apabila atap rumahnya terjejas teruk dihempap pokok itu, namun kehadiran ahli keluarganya sedikit sebanyak mengurangkan rasa sedih.

“Alhamdulillah, semuanya selamat walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Kami berterima kasih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang segera menghantar kakitangan untuk menyambung semula bekalan yang terputus dan semua pihak yang membantu kami termasuk bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Tindakan pantas dilakukan semua pihak sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan kami, lebih-lebih lagi esok (semalam) hari raya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam berkata, semua mangsa ribut yang bergelap hampir enam jam itu mendapat semula bekalan elektrik, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Menurutnya, kejadian ribut yang melanda kawasan berkenaan, kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan lebih 100 rumah rosak dan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Akhbar semalam melaporkan seorang warga emas nekad mengheret anak perempuannya yang cacat apabila atap rumah mereka di FELDA Jerangau di sini, dibadai ribut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 8:47 AM