SEORANG daripada jemaah yang terlantar dan tidak dapat mengerjakan ibadat wukuf.
Jamil Khir (lima dari kanan) melawat jemaah yang sakit di Pusat Rawatan TH Syisyah, Makkah, semalam.


Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan lima jemaah yang tidak dapat menyempurnakan ibadat haji mereka berikutan tidak dapat berwukuf di Arafah semalam untuk mengerjakan semula rukun Islam kelima itu tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, lima jemaah terbabit termasuk seorang wanita adalah pesakit yang dirawat di hospital Arab Saudi apabila keadaan mereka agak kritikal.

Katanya, mereka tidak dapat dibawa ke Arafah bersama pesakit lain yang dibawa menerusi program Safari Wukuf, kelmarin.

“Kami dukacita sebab lima jemaah sakit tidak dapat dibawa bersama untuk berwukuf dan mereka pesakit sistem pernafasan dan pendarahan dalam otak.

“Insya-Allah Tabung Haji memberi jaminan kelima-lima jemaah berkenaan diberikan keutamaan untuk mengerjakan haji semula pada tahun depan jika kesihatan mereka mengizinkan.

“Ini tanggungjawab sosial korporat Tabung Haji kepada jemaah yang tidak dapat menyempurnakan haji kerana haji mereka luput berikutan tidak dapat melaksanakan salah satu rukun iaitu wukuf,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan TH Syisyah, di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah serta Ahli Lembaga Pengarah TH Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Jamil Khir turut memaklumkan angka kematian jemaah setakat ini meningkat 10 jemaah apabila kes kematian terbaru membabitkan seorang jemaah lelaki ketika bermabit di Muzdalifah kelmarin.

Beliau berkata, semua jemaah berada di Mina sejak kelmarin selepas selesai berwukuf untuk meneruskan ibadat iaitu melontar ketiga-tiga jamrat sehingga esok.

Beliau turut menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya mengikut jadual waktu melontar yang disediakan TH bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti insiden rempuhan tahun lalu berikutan bilangan jemaah terlalu ramai.

“Ini bagi memudahkan pengawalan pergerakan jemaah dan kami lihat walaupun bilangan jemaah sangat ramai, tetapi kerajaan Arab Saudi sangat bersungguh-sungguh menjaga keselamatan jemaah yang melontar.

“Setakat ini Alhamdulillah mungkin berdasarkan pengalaman tahun lalu ia menjadi pengajaran dan pihak berkuasa Arab Saudi memastikan semuanya berjalan dengan baik dan saya harap jemaah dapat menjaga diri masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:29 AM