AHLI Yayasan MyPrihatin bersama masyarakat Orang Asli memotong daging korban di Pos Brooke, Gua Musang.
AHLI Yayasan MyPrihatin bersama masyarakat Orang Asli memotong daging korban di Pos Brooke, Gua Musang.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli beragama Islam melaksanakan ibadat korban dan akikah anjuran Yayasan MyPrihatin di Padang Awam Pos Brooke, semalam.

Program julung kali itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan mengenai cara sembelihan korban yang betul mengikut Islam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rahimi Abd Karim berkata, pihaknya terpanggil untuk mengadakan program itu bersama masyarakat Orang Asli atas dasar tanggungjawab sesama Islam.

Beliau berkata, pihaknya juga menyedari masih ramai masyarakat Orang Asli beragama Islam di kawasan itu yang kurang mahir mengenai ibadat berkenaan.

“Kami menyembelih dua lembu yang diperoleh hasil derma orang ramai dan dagingnya dilapah sebelum sebahagiannya disedekah, manakala selebihnya dimasak untuk dimakan beramai-ramai.

“Penyediaan makanan dibuat dengan kerjasama restoran masakan Arab di Lembah Klang, Wadi Hadramawt,” katanya selepas Program Korban dan Aqiqah Bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Brooke, semalam.

Beliau juga memuji kerukunan masyarakat Orang Asli di penempatan itu yang bersatu padu dan mudah bekerjasama untuk sebarang penganjuran majlis.

“Sekurang-kurangnya menerusi program ini, mereka lebih memahami Islam dan perkara itu dikongsi dengan masyarakat lain,” katanya.

Selain Pos Brooke, menurutnya, program itu turut diadakan di Sungai Lembing, Pahang, Pengkalan Hulu, Perak, Kampung Pulau Duyong Besar, Terengganu dan Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 8:57 AM