Abdul Hanis Hairul (kanan) bersama Badrul Hisyam hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang pegawai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman, memberitahu tertuduh keenam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais mengaku dia melanggar kereta dipandu mangsa menggunakan pacuan empat roda Mitsubishi Triton hitam.

Saksi pendakwaan ke-31, Asisten Superintendan (ASP) Badrul Hisyam Abd Hamid, 34, berkata tertuduh itu, S Nimalan, 23, turut memberitahunya bahawa dia mendapat arahan daripada tertuduh ketujuh, S Ravi Chandaran, 45, untuk berbuat demikian.

Badrul Hisyam berkata, pada awal 16 September lalu, dia dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dari IPD Kuala Muda, Kedah membawa Nimalan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat kes, Wan Abdullah Wan Said sebelum lelaki itu memberitahunya maklumat mengenai kes pembunuhan berkenaan.

“Dia (Nimalan) beritahu, dia yang memandu kereta Mitsubishi Triton itu dan melanggar kereta Kevin. Apabila ditanya mengapa bertindak sedemikian, dia berkata ia disebabkan arahan diberikan oleh Ravi Chandaran,” katanya.

Badrul Hisyam berkata demikian dalam pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes bunuh Kevin Morais, masuk hari ke-22, di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah, di sini, semalam.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-32, ASP Abdul Hanis Hairul Abdul Halim, 33, berkata pada 15 September 2015, dia diarahkan Superintendan Shazeli Kahar ke IPD Kuala Muda untuk membantu mengesan dan menangkap suspek berhubung dengan kes kehilangan Timbalan Pendakwa Raya itu.

“Apabila saya tiba di rumah rehat di Sungai Petani, saya terima panggilan daripada Shazeli jam 5.30 petang memaklumkan mengenai tangkapan dua lelaki India dan kemudian pergi ke IPD Kuala Muda bersama tiga anggota yang lain,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan.

MUHAMMAD IZZAT: Kamu tiba di IPD Kuala Muda jam berapa?

ABDUL HANIS: 6 petang.

MUHAMMAD IZZAT: Ada arahan kamu terima sebaik sampai ke IPD Kuala Muda?

ABDUL HANIS: Ya. Shazeli menunjukkan saya dua lelaki India, Nimalan dan Ravi Chandaran yang ditahan dan mengarahkan saya menyoal siasat Ravi Chandaran.

MUHAMMAD IZZAT: Boleh camkan Ravi Chandaran?

ABDUL HANIS: Ya. Dia duduk di hujung sebelah kanan (sambil menunjukkan ke arah Ravi Chandaran).

MUHAMMAD IZZAT: Boleh camkan Nimalan?

ABDUL HANIS: Tidak pasti.

MUHAMMAD IZZAT: Apa perbezaan Ravi Chandaran pada hari dia ditangkap?

ABDUL HANIS: Ketika dia ditahan, dia berjanggut.

MUHAMMAD IZZAT: Apa ciri muka yang membuatkan kamu mengingati muka Ravi Chandaran?

ABDUL HANIS: Saya cam berdasarkan tahi lalat di hidungnya.

Keadaan di mahkamah kemudian bertukar riuh seketika selepas mendengar jawapan Abdul Hanis dan dilihat Ravi Chandaran turut tersenyum dari dalam kandang tertuduh.

Abdul Hanis berkata, soal siasat dijalankan terhadap Ravi Chandaran dan ia berlangsung kira-kira dua jam dan memberitahu mahkamah ada maklumat penting yang diperoleh.

“Saya bersama lebih 10 anggota membawa Ravi Chandaran ke sebuah kawasan perumahan di Lunas, Kulim dan mendapati terdapat Mitsubishi Triton di situ.

“Ravi Chandaran kemudian menunjukkan kenderaan itu kepada polis dan saya tidak terbabit dalam rampasan kereta itu serta pulang ke rumah rehat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hanis berkata, pada 19 September 2015, Ravi Chandaran membawanya dan dua anggota ke satu lokasi di Kilometer (KM) 46, Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran jambatan Kuala Selangor bagi merampas barang kes.

“Pencarian dilakukan pasukan penyelam dan menemui mesin pencanai jenama Hitachi di dasar sungai,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, enam lelaki, G Gunasekaran, 48, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, Nimalan dan Ravi Chandaran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin antara jam 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015 di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seorang lagi tertuduh, R Kunaseegaran, 53, yang juga pakar patologi tentera mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin di tempat, tarikh dan masa sama yang dibicarakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September tahun lalu. Mayatnya ditemui di dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September tahun lalu.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 7:18 AM