Yusmizal Dolah Aling dari Sydney
yusmizal@hmetro.com.my


“Lah (Zalilah), aku nak balik...aku nak balik...aku nak balik.” Ungkapan itu tidak lekang daripada mulut Salinah Nordin sebaik mendakap tubuh adiknya di Hospital Liverpool tengah hari semalam.

Pertemuan semula selepas dua tahun tidak berjumpa berlangsung dalam suasana syahdu dan penuh air mata apabila dia tidak putus-putus mengucapkan terima kasih dan syukur kerana hasratnya untuk berjumpa ahli keluarga tercapai.

Bukan itu saja, buat pertama kali sejak terlantar akibat tuberculosis (TB) di hospital berkenaan lebih sebulan lalu, dia akan ditemani adiknya Zalilah Nordin, 33, yang didatangkan khas dari Papar, Sabah oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) untuk menemaninya selama beberapa hari.

Jelas dia begitu terharu apabila langsung tidak mahu melepaskan pegangan tangan adiknya itu sebaliknya mereka berbual mesra serta bertanyakan khabar sanak-saudara.

Menurut Salinah, sejak terlantar di wad akibat TB, dia begitu rindukan sanak-saudara di kampung yang ditinggalkannya kerana mengikut suami berhijrah, April lalu.

“Saya dah baik, doktor kata saya sudah OK.

“Terima kasih kepada semua yang bersusah payah datang, bawa adik saya dan mendoakan saya sembuh,” katanya.

Selain Zalilah, turut sama Setiausaha (Operasi) BKUM Abd Khalid Chairul dan Pengarah Education Malaysia Australia (EMA) Suzaini Abdullah.

Pasukan BKUM dan EMA turut mendapat penjelasan daripada suami Salinah mengenai keadaan terkini wanita berkenaan yang beransur pulih selepas menerima rawatan.

Sementara itu, Zalilah berkata, dia amat bersyukur kerana dapat berjumpa kakaknya walaupun sedih melihat keadaan wanita berkenaan yang menderita sakit.

Katanya, dia terkilan tidak dapat memenuhi permintaan Salinah yang mahu menikmati kuih cincin dari Sabah kerana bimbang ia tidak sesuai dengan keadaannya.

“Memang dalam perbualan di dalam kumpulan WhatsApp keluarga, dia ada minta. Tetapi saya takut kerana dia tidak sihat, bimbang akan memudaratkan dirinya.

“Apapun, hari ini amat bermakna kerana dapat melepaskan rindu kepada Lina (Salinah), apatah lagi ketika kesihatannya tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 9:39 AM
DETIK pertemuan antara Salinah dan adiknya Zalilah di Hospital Liverpool, semalam.