AZIZAH menunjukkan gambar ayahnya, Mohd Rapini.
Rafidah Mat Ruzki
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Klang: “Kami bersyukur selepas ayah ditemui selamat di Alor Gajah, Melaka petang tadi (semalam,” kata anak kepada pesara guru agama, Mohd Rapini @ Ahmad Rafie Daros, 76, yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Jalan Kenanga, Meru, dekat sini, Selasa lalu.

Azizullah, 38, berkata, mereka sekeluarga tidak mengetahui bagaimana bapanya boleh sampai ke Melaka.

“Buat masa ini kami tidak tahu apa yang berlaku dan bagaimana ayah boleh sampai ke sana (Alor Gajah),” katanya yang dihubungi, semalam.

Kehilangan Mohd Rapini menjadi viral selepas disebarkan keluarga melalui aplikasi WhatsApp tengah hari semalam.

Terdahulu, anak sulung mangsa, Azizah, 42, ketika ditemui di rumah keluarga itu di Jalan Kenanga, Meru berkata, bapanya menghidap barah usus tahap empat, lelah dan masalah buah pinggang.

Katanya, bapanya tidak membawa ubat-ubatan ketika keluar rumah untuk ke majlis kenduri di Batu Belah, Klang.

“Kenduri kahwin itu sebenarnya berlangsung Ahad lalu, tetapi bapa saya tersilap. Ketika keluar, seperti kebiasaannya, bapa saya menampal nota memaklumkan ke mana dia pergi.

“Kehilangan ayah disedari selepas adik, Azimullah, 36, pergi ke rumahnya pada waktu Maghrib, namun kediaman itu gelap.

“Kali terakhir jiran kami ternampak ayah keluar rumah jam 4.30 petang, Selasa lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, warga emas itu ditemui dua wanita di Taman Seri Bayu.

“Berdasarkan temubual dengan mangsa, percakapannya didapati tidak konsisten dan polis menghubungi ahli keluarga berdasarkan laporan kehilangan di Meru, Klang pada 21 September, jam 1.52 pagi oleh anak sulungnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 8:39 AM