DR Ahmad Zahid pada sidang media selepas berucap pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
BERNAMA

New York: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penuh bertenaga lagi bersemangat di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) Bersatu memberitahu masyarakat antarabangsa bahawa selepas lima tahun yang berpanjangan berlalu sekarang masa untuk menyelesaikan sama sekali konflik di Syria.

Sejak 2011, Timbalan Perdana Menteri berkata, konflik itu menular dengan mencetuskan krisis kemanusiaan secara besar-besaran menyebabkan semua pihak berusaha keras untuk menanganinya.

“Pihak bertelagah di Syria seolah-olah sengaja mengetepikan semua alasan dan sifat kemanusiaan, tidak dapat menyatakan sudah cukup untuk mengelakkan lebih banyak kematian dan kecederaan terutama kanak-kanak,” kata beliau pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan mengenai Syria, di sini, kelmarin.

Ahmad Zahid berkata, konflik berdarah dan berlarutan di Syria benar-benar menguji keupayaan majlis berkenaan untuk menyatukan seluruh pendekatan bersama bagi penyelesaian politik yang berwibawa dan berkekalan terhadap krisis itu.

Justeru, beliau berkata Majlis Keselamatan harus mengekalkan ketegasan dan terus berusaha mencapai perpaduan dan kepaduan dalam tujuan dan tindakannya untuk melaksanakan tanggungjawab secara efektif demi mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa.

“Dalam mencari pelbagai format untuk menyelesaikan konflik Syria, saya ingin menekankan Majlis tidak boleh diketepikan dan mempunyai peranan penting,” kata Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bandar raya ini.

Sebagai anggota Majlis Keselamatan ketika ini, beliau berkata, sokongan Malaysia bagi pelaksanaan keputusan mengenai Syria tidak berbelah bahagi, terutama bagi menghentikan keganasan dan mengenai situasi kemanusiaan.

Bagaimanapun, katanya Malaysia berkongsi pendapat ramai bahawa masa untuk mesyuarat yang tidak berkesudahan dan resolusi mengenai Syria perlu berakhir kerana fokus penting bagi mencapai keamanan berkekalan di negara dilanda peperangan itu.

Katanya, konflik itu memberi ruang dan persekitaran yang membolehkan keganasan berleluasa terutama kebangkitan kumpulan militan Daish yang perbuatan dan kekejaman mereka kian diperkatakan di seluruh dunia.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia terkejut dan marah terhadap insiden serangan ke atas konvoi kemanusiaan disokong PBB dekat Aleppo pada malam Isnin lalu.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan orang awam yang tidak bersenjata dan pekerja kemanusiaan dalam insiden itu, yang sekali lagi secara terang-terang melanggar undang-undang antarabangsa yang menggambarkan pihak terbabit langsung tidak menghormati nilai kemanusiaan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia kekal komited menuntut pihak berkenaan bertanggungjawab terhadap pelbagai pelanggaran dan pencabulan yang dilakukan semasa konflik di Syria dan bersedia bekerjasama dengan semua rakan yang berminat dan menyokong inisiatif ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 9:28 AM