OWEN (kiri) menunjukkan pingkat dan produk dicipta mereka ketika Karnival Inovasi JPWPKL 2016.

Kuala Lumpur: Lima Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) berjaya menghasilkan baja mengandungi organisma mikro bermanfaat (EM) daripada bahan campuran susu, air cuci beras, abstrak daun, anggur, dan yogurt sebagai pengganti baja kimia yang memberi kesan negatif terhadap tumbuhan mahupun pengguna.

Kandungan EM dalam campuran itu terbukti menggalakkan pertumbuhan akar, pembentukan buah dan pengeluaran pucuk baru.

Pelajar yang terbabit dalam inovasi itu, Owen Vkish Wong, 16, berkata, mereka menggunakan baja EM itu untuk tanaman teh di Kundasang, Sabah, April lalu.

“Hasil kajian selepas sebulan menunjukkan struktur tanah dapat dibaiki, malah pengeluaran daun teh juga meningkat sehingga mampu menghasilkan sebanyak 2,641 kilogram daun teh sehektar.

“Selain itu, daun teh juga boleh tumbuh sepanjang 15.3 sentimeter dengan lebar 7.42 sentimeter berbanding penggunaan baja kimia yang hanya mampu menghasilkan daun sepanjang 13.19 sentimeter dan lebar 5.58 sentimeter,” katanya ketika ditemui pada Karnival Inovasi peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) di MTD, Sungai Besi di sini, semalam.

Selain Owen, pelajar lain ialah ialah Damien Chong Hao Xuan, Eddie Irvine, Lim Joe Thin dan P Avinash.

Ciptaan mereka itu membawa mereka dan MTD memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara.

Antaranya, pingat emas untuk kategori Sains Persekitaran ketika Konferen Saintis Muda Antarabangsa (ICYS) 2016 di Romania dan Pameran Eureka Inovasi dan Kejuruteraan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), emas untuk Pencipta Muda Olympiad Malaysia Antarabangsa (MIYIO) 2016, emas dan perak ketika Karnival Sains dan Inovasi Antarabangsa MSU 2016 serta pingat gangsa di Konferen Saintis Muda Asia Pasifik (APCYS) 2016, India.

Sementara itu, Owen berkata, idea untuk penghasilan baja EM itu adalah milik rakannya Damien yang mula dibangunkan sejak Februari lalu.

“Buat masa ini kami sedang dalam usaha untuk mematenkan baja EM itu dan mungkin bertujuan komersial selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan JPWPKL Foziah Buang berkata, inovasi adalah penanda aras baharu global dan menuntut keupayaan penciptaan bukan saja bersifat baharu tetapi unik serta bermanfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 6:25 AM