Badrul Hisham (dua dari kiri) melawat Badrul Hisham yang lumpuh di Kampung Padang Cenerai, Padang Terap.

Padang Terap: Hati mana tidak tersentuh melihat bapa sendiri terlantar sakit akibat angin ahmar hingga lumpuh seluruh badan menyebabkan empat beradik yang masih remaja terpaksa menggalas tanggungjawab sehingga tiga daripada mereka terpaksa ponteng sekolah sejak sebulan lalu.

Bapa mereka Badrul Hisham Tajudin, 43, sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat di Sintok sebelum diserang angin ahmar pada 2008 menyebabkan separuh badannya lumpuh.

Bagaimanapun, ketika itu, dia masih mampu melakukan tugas harian dan tinggal bersama dua anaknya, Muhammad Azrul Fakhrullah, 16, dan Muhammad Syakir Zulfayri, 11, di Kampung Padang Cenerai, selepas berpisah dengan bekas isteri sejak diserang angin ahmar.

Dua anak perempuannya, Nurul Fatin Aina, 15, dan Nurul Farahwahida, 14, pula tinggal bersama ibu mereka yang berkahwin lain dan masing-masing bersekolah dalam tingkatan dua dan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria, Sungai Petani.

Kehidupan keluarga itu bertukar lebih teruk apabila Badrul Hisham sekali lagi diserang angin ahmar pada Ogos lalu menyebabkannya lumpuh seluruh badan dan tiada sesiapa menjaganya kecuali dua anak lelakinya.

Muhammad Azrul terpaksa berhenti sekolah sejak berusia 13 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah tidak menentu sekitar RM20 hingga RM30 sehari manakala Muhammad Syakir pula belajar dalam tahun lima di Sekolah Kebangsaan Padang Sanai.

Nurul Fatin Aina berkata, dia dan adiknya, Nurul Farahwahida kebetulan pulang ke rumah bapanya untuk melihat keadaannya dan sebaik pulang mendapati bapanya hanya terbaring atas tilam dengan dijaga abang serta adik bongsunya dalam keadaan tidak terurus.

“Disebabkan itu, saya dan Farahwahida mengambil keputusan menjaga ayah sementara waktu kerana kasihan melihat keadaannya walaupun kami terpaksa ponteng sekolah.

“Bagaimanapun, guru sekolah memahami keadaan kami, malah saya agak tertekan kerana bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) minggu depan tetapi pada waktu sama perlu menjaga ayah di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurutnya, walaupun banyak tercicir dalam pelajaran, namun dia tetap akan menduduki PT3 bagi mengubah nasib keluarga dan berhasrat mencapai impiannya menjadi guru.

Katanya, sebelum ini doktor menyarankan bapanya diberi minum susu khas bernilai RM39 satu tin kecil tetapi disebabkan terpaksa berjimat wang, mereka terpaksa memberinya dua kali sehari dan bertahan selama seminggu selain memberi air kosong serta makan bubur nasi sebagai ganti.

Menurutnya, wang bantuan bulanan diterima bapanya sebanyak RM350 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mencukupi untuk membeli susu khas, lampin pakai buang dan barang keperluan makanan di rumah.

Nasib menimpa keluarga itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang Datuk Badrul Hisham Hashim.

Badrul Hisham berkata, pihaknya bersedia membantu keluarga itu berikutan masalah dialami mereka.

“Pejabat ADUN Kuala Nerang juga akan menguruskan pertukaran sekolah Nurul Fatin Aina dan Nurul Farahwahida serta-merta untuk membolehkan mereka tinggal bersama bapa mereka.

“Bagaimanapun, Nurul Fatin Aina perlu menduduki PT3 terlebih dulu sebelum bertukar ke sekolah di sini.

“Selain itu, abang mereka, Muhammad Azrul Fakhrullah bersetuju menyambung semula persekolahannya walaupun sudah berhenti sejak tingkatan satu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 7:38 AM