DR Marhani melihat Pameran Lukisan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
DR Marhani melihat Pameran Lukisan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Cheras: Masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat negara ini didapati meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding tahun 1996.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati tahap masalah kesihatan mental masyarakat Malaysia kini pada tahap 29.2 peratus berbanding 10.7 peratus pada 1996.

Ketua Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Profesor Dr Marhani Midin berkata, meskipun angka itu tidak memberikan maklumat tepat mengenai diagnosa jenis masalah kesihatan mental namun ia perlu diberi tumpuan oleh semua pihak.

“Masalah kesihatan mental lebih kerap berlaku daripada apa yang boleh kita bayangkan dan sudah tiba masanya ia diberi perhatian sewajarnya.

“Semua jenis masalah kesihatan mental perlu diberi intervensi segera kerana walaupun zahirnya pesakit tidak kelihatan sakit tetapi bukan bermakna mereka sihat sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Minggu Kesihatan Mental Sedunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini, semalam.

Minggu Kesihatan Mental Sedunia yang bertemakan Maruah Dalam Kesihatan Mental itu dianjurkan pelajar perubatan tahun empat universiti terbabit dan dirasmikan Ketua Pengarah Operasi HCTM Adli Muhammad.

Hadir sama Naib Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia Dr Hazli Zakaria, Pegawai Rehabilitasi Psikiatri Singapura Goh Siao Yen dan Pengarah Hospital Permai Dr Abdul Kadir Abu Bakar.

Menurut Dr Marhani, peranan keluarga dan sokongan masyarakat penting dalam proses pemulihan pesakit masalah kesihatan mental.

Kata beliau, satu daripada punca pesakit sukar untuk disembuhkan adalah kerana wujudnya stigma yang kuat iaitu pandangan negatif dan diskriminasi khususnya kepada pesakit serta keluarga terbabit.

“Masalah mengenai stigma ini bukan setakat orang ramai yang memandang negatif terhadap pesakit tetapi pesakit mahu pun ahli keluarga sendiri memandang rendah terhadap diri, hak serta kemampuan untuk mendapat tempat dalam masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 7:32 AM